suria

28 set komputer guna perisian haram dirampas

PETALING JAYA: Sebanyak 28 unit set komputer yang disyaki menggunakan perisian salinan haram bernilai RM56,000 dirampas di sebuah kafe siber di Dataran Mentari, Bandar Sunway di sini semalam.

Serbuan pada pukul 1.35 petang itu dijalankan sepasukan pegawai peguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas menerima aduan daripada pemilik hakcipta.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor Ahmad Mat Isa berkata serbuan yang diketuai Penolong Pengawal Hakcipta Mohamad Fauzan Wasil mendapati premis berkenaan telah memuat turun perisian salinan langgaran (haram) ke dalam komputer untuk kegunaan pelanggan.

Beliau berkata antara perisian salinan langgaran ke atas permainan komputer yang digunakan premis berkenaan ialah Counter Strike, Half Life I, Half Life II dan Left 4 Dead.

"Jika sabit kesalahan pemilik perniagaan tersebut boleh didenda tidak kurang RM2,000 bagi setiap salinan atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduaduanya," katanya kepada pemberita yang ditemui di tempat kejadian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain