suria

14 kes baru dengan tiga jangkitan tempatan dilaporkan

PUTRAJAYA: Sebanyak 14 kes baru Influenza A (H1N1) dilaporkan di negara ini, dengan 11 daripadanya adalah kes import dan tiga lagi merupakan kes jangkitan tempatan, menjadikan jumlah kes itu setakat ini meningkat kepada 158 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata 14 kes baru wabak itu yang juga dikenali sebagai selesema babi itu melibatkan 11 warganegara Malaysia dan tiga warganegara asing iaitu masing-masing satu warga Australia, New Zealand dan Indonesia.

"Daripada 11 kes import, mereka telah memberikan sejarah melawat negara yang terjejas dengan wabak Influenza A (H1N1) iaitu Australia (empat), Indonesia (empat), Singapura (dua) dan New Zealand (satu), manakala tiga kes jangkitan tempatan melibatkan warga tempatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata jumlah pesakit selesema H1N1 yang masih dirawat di hospital pada masa ini berjumlah 47 orang dan kesemua mereka menunjukkan respons yang baik kepada rawatan tanpa sebarang komplikasi.

Seramai 111 kes Influenza A (H1N1) telah sembuh rawatan dan dibenarkan keluar daripada hospital, dan setakat ini tiada sebarang kematian dilaporkan, katanya.

Dr Mohd Ismail berkata dua buah sekolah lagi ditutup sejak semalam kerana terdapat jangkitan tempatan, iaitu Sekolah Tinggi Chung Hwa, Seremban dan Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur.

Beliau berkata dua buah sekolah itu akan ditutup sehingga Jumaat ini bagi mengawal penularan penyakit itu di sekolah tersebut.

"Semua ibubapa kepada pelajar-pelajar tersebut diminta untuk terus memastikan anakanak mereka berada di rumah dan tidak pergi ke tempat-tempat awam dalam masa kuarantin, dan kita harap mereka yang datang dari negara-negara terjejas mengamalkan kuarantin sendiri di rumah atau tempat kediaman masing-masing dan mengamalkan 10 langkah bijak dalam masa kuarantin seperti yang dipromosikan kementerian," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata jumlah kontak yang sedang menjalani kuarantin di rumah pada masa ini adalah berjumlah 713 orang dengan empat kontak mempunyai simptom.

Jumlah terkumpul kes yang disiasat kerana disyaki jangkitan selesema H1N1 adalah sebanyak 2,205 kes di mana 158 kes telah disahkan positif manakala 126 kes masih menunggu keputusan, katanya. Dr Mohd Ismail berkata sehingga pagi ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan jumlah kes selesema H1N1 yang dilaporkan berjumlah 71,076 kes dengan 311 kematian daripada 116 negara, iaitu pertambahan sebanyak 9,388 kes.

Beliau berkata terdapat pertambahan 46 kematian dan empat negara baru iaitu Iraq (10 kes), Lithuania (satu kes), Monaco (satu kes) dan Nepal (tiga kes) manakala negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi adalah Kanada (1,043 kes) Amerika Syarikat (6,268 kes), United Kingdom (653 kes) dan Australia (181 kes).

Dr Mohd Ismail berkata kementerian juga mewujudkan sebuah laman web khas mengenai Influenza A (H1N1) yang boleh diakses di alamat http://h1n1.moh.gov.my mulai esok.

Selain itu, dua hotline baru dibuka iaitu 038883 4414 dan 03-8883 4415 sebagai tambahan kepada hotline sedia ada iaitu 03-8881 0200 dan 03-8881 0300 untuk kemudahan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai wabak tersebut, katanya.

Sementara itu di Johor Bharu, Seorang lelaki tempatan yang bekerja di Singapura disahkan menghidap Influenza A (H1N1), menjadikan jumlah mangsa di Johor setakat ini kepada empat orang, menurut anggota Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Dr Robia Kosai.

Menurutnya, lelaki berusia 25 tahun itu mengadu tidak sihat ketika menjalani saringan kesihatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), di sini semalam.

"Berikutan dengan itu, lelaki terbabit telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan disahkan positif H1N1," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Katanya, keluarga mangsa yang tinggal di Mersing serta tunang beliau yang berada di Putrajaya turut dikenakan tindakan kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga. Sementara itu, Robia turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak bertindak menghantar anakanak mereka ke sekolah sekiranya mereka tidak sihat, sebaliknya membawa mereka ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain