suria

Wanita hamil meninggal akibat diragut

JOHOR BAHARU: Seorang wanita yang mengandung dua bulan meninggal dunia hari ini selepas koma akibat diragut ketika menunggang motosikal di Taman Ayer Hitam, dekat Batu Pahat, Ahad lepas.

Jamilah Selamat, seorang jurujual di kedai kraftangan di pekan Ayer Hitam, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini pada kirakira pukul 7.35 pagi.

Jamilah yang akan menyambut hari jadi ke32, Isnin ini koma apabila terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya setelah diragut dua lelaki yang menaiki motosikal.

Suaminya, Razali Ahmad, 41, berkata kejadian berlaku pada kirakira pukul 7.30 malam ketika Jamilah yang menunggang bersendirian motosikal Honda EX5, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Mekar, kira-kira 70 meter dari tempat kejadian.

"Arwah terjatuh dan terhentak di kepala kerana motosikalnya gagal dikawal. Sebelum itu, arwah yang selesai bekerja sempat ke pasar malam untuk membeli barangan keperluan dapur," katanya.

Razali berkata isterinya yang mengalami kecederaan di kepala dihantar ke Pusat Kesihatan Ayer Hitam sebelum dipindahkan ke Hospital Batu Pahat dan kemudian di HSA, sebelum meninggal dunia pagi ini.

Beliau berkata Jamilah sebelum ini pernah mengalami kejadian ragut di Jalan Johor BaharuAyer Hitam pada pertengahan tahun lepas dan sejak itu arwah gemar menyangkut tali beg tangannya di cermin sisi motosikal.

"Tindakannya menyangkut tali beg tangan itu kemungkinan menyebabkan motosikalnya gagal dikawal," katanya.

Beliau berkata laporan polis mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Ayer Hitam dan jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ayer Hitam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ibrahim Mohd Aris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan. BERNAMA

Artikel Lain