Azizah: PKR pinda perlembagaan akar umbi pilih pemimpin - Semasa | mStar

Azizah: PKR pinda perlembagaan akar umbi pilih pemimpin

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meminda perlembagaannya dengan melaksanakan dasar "setiap ahli satu undi" yang akan memberi hak kepada setiap ahli untuk memilih secara langsung barisan pimpinan tertinggi parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sistem pemilihan melibatkan akar umbi yang julung kali diamalkan oleh parti politik di Asia itu akan menggantikan amalan sistem perwakilan sedia ada.

"Pindaan berani ini bukan sahaja mengesahkan iltizam kami untuk menghidupkan sistem demokrasi di dalam parti malah ia juga dapat menghalang peluang bibit-bibit politik wang dari mula berputik.

"Pimpinan parti akan sentiasa dipantau dan hanya mereka yang layak sahaja memegang jawatan di dalam parti.

"Pada masa yang sama, ia memberi peluang kepada muka-muka baru yang berpotensi untuk bergerak aktif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, beberapa fasal dalam perlembagaan PKR juga akan dipinda pada Kongres Nasional Khas yang akan diadakan Jun ini bagi menepati tema perjuangan "Ketuanan Rakyat" yang diuar-uarkan parti itu.

Katanya, antara pindaan tersebut adalah mengehadkan tempoh seseorang pemimpin meneraju sesuatu jawatan tidak melebihi dari tiga penggal, melaksanakan penglibatan minima 30 peratus wanita di semua peringkat kepimpinan, mengemaskini tatacara pemilihan dan pelantikan pemimpin agar lebih telus dan memperketatkan fasal-fasal berkaitan jati diri dan disiplin ahli.

"Kami yakin cadangan pindaan tersebut menggambarkan dengan jelas amalan politik baru yang kami bawa dan dengannya KEADILAN menapak selangkah ke hadapan bagi memenuhi kehendak hati rakyat Malaysia yang dahagakan sistem pemerintahan yang telus, bersih dan efisyen," katanya.

Beliau berkata, PKR telah memberi kesan yang signifikan kepada iklim politik, sosial dan ekonomi negara dan ia dikatakan terbukti melalui keputusan pilihan raya umum lalu dan beberapa pilihan raya kecil selepas itu.

Katanya, sokongan kepada PKR juga dapat dilihat melalui permohonan keahlian yang diterima parti itu dari seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain