suria

Mahkamah Tinggi lepaskan Raja Izzuddin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini telah melepaskan bekas Raja Kecil Besar Perak Raja Izzuddin Iskandar Shah daripada tuduhan bersuhabat dengan bekas setiausaha peribadinya untuk menipu dua ahli perniagaan anak beranak mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk.

Mahkamah juga mengesahkan pembebasan bekas setiausaha peribadi Datuk Ibrahim Zulifli daripada menipu ahli perniagaan Fong Seow Kai Chuan dan Fong Nyok Lan mendapatkan darjah kebesaran Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) bergelar Datuk untuk Nyok Lan.

Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali hari ini menolak rayuan pendakwa terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Teluk Intan yang melepas dan membebaskan Raja Izzuddin dan Ibrahim pada 27 Januari, 2006, tanpa dipanggil untuk membela diri.

Mohamed Apandi berkata segala tomahan menipu dan keperdayaan yang menjadi intipati pertuduhan terhadap keduadua mereka telah hancur berkecai berikutan terdapatnya beberapa keterangan saksi utama berbentuk "exculpatory".

Keterangan exculpatory ialah keterangan yang berpihak kepada tertuduh atau defenden yang menunjukkan bahawa tertuduh atau defenden tidak bersalah atau tidak mempunyai niat jenayah.

"Keterangan exculpatory tersebut dengan sendirinya telah dan dapat melepaskan keduadua responden (Raja Izzuddin dan Ibrahim) daripada pertuduhan terhadap mereka," kata Mohamed Apandi pada penghakimannya.

Beliau berkata antara keterangan exculpatory yang diberikan oleh mangsa Kai Chuan, 38, ialah keterangan menyatakan "semasa YAM (Raja Izzuddin) terima, YAM beritahu ibu saya jangan ingat kamu ada duit pasti boleh dapat D.P.M.P. D.P.M.P tidak boleh dijual beli".

Keterangan exculpatory kedua, kata hakim itu, adalah keterangan Kai Chuan yang menyatakan sekirannya beliau rasa ditipu, beliau tidak akan bayar wang dan juga keterangannya menyatakan beliau tidak ditipu.

Mohamed Apandi berkata ibu Kai Chuan pula, Nyok Lan, 69, juga telah memberi keterangan berbentuk exculpatory dengan menyatakan sumbangan yang diberikannya kepada istana adalah secara sukarela bagi kerja amal dengan tidak ada sebarang pulangan.

Raja Izzuddin, 54, anak kepada Almarhum Sultan Perak, Sultan Idris Shah, didakwa dengan tuduhan utama dan tuduhan alternatif bersuhabat dengan Ibrahim untuk menipu Kai Chuan, seorang pengarah eksekutif syarikat.

Dia didakwa bersuhabat dengan Ibrahim untuk menipu dua wanita tersebut dengan mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM150,000 sebagai sumbangan kepada tabung istana bagi mendapatkan anugerah tersebut.

Perbuatan itu didakwa diilakukan antara 11 Mac dan 2 April 2003 di Lot 7127, Jalan Pasar Sambungan, Teluk Intan, Perak. Bagi tuduhan alternatif, Raja Izzuddin didakwa menipu keduadua anak beranak itu untuk menyumbang RM80,000 kepada tabung istana.

Dia didakwa menipu dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu menyokong pencalonan Nyok Lan untuk mendapatkan darjah kebesaran di Istana Seri Tambun, Tambun Height, Ipoh, antara 27 Mac dan 2 April 2003.

Hakim Mohamed Apandi juga memutuskan bahawa hakim bicara telah dengan teliti dan betul mengupas undang-undang berhubung semua isu yang ditimbulkan semasa perbicaraan dan dapatan fakta oleh hakim bicara itu berlandaskan kepada semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan.

"Dalam kes tipu, pihak yang kena tuduh tidak perlu buktikan apaapa fakta, kecuali dan memadai dengan menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan," katanya.

Raja Izzuddin diwakili peguam S.Selvam manakala Ibrahim diwakili peguam Amrit Pal Singh dan pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azmi Ariffin.

Raja Izzuddin dipecat gelaran Raja Kecil Besar Perak pada 2006 selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkannya muflis pada 27 Mac, 1990. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita BN mula mesyuarat enam jam

Artikel Lain