suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Dua tekong dipenjara 20 bulan

KLANG: Dua tekong warganegara Indonesia dihukum penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah kerana cuai sehingga menyebabkan kematian 14 penumpang bot dari negara itu di perairan Malaysia, Pelabuhan Klang di sini, dua hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Majistret Gan Chee Keong memerintahkan Jimmy Sitorus, 40, dan Syahtria Budi, 38, keduaduanya berasal dari Tanjung Balai, Sumatera, Indonesia, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 30 Sept lepas.

Jimmy dan Syahtria didakwa menyebabkan kematian ke atas 14 penumpang bot dari Indonesia yang tidak dikenali identiti di perairan Malaysia, Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 7.30 pagi pada 29 Sept lepas dan didakwa mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Mengikut fakta kes pada 30 Sept lepas, bertindak atas maklumat polis bantuan Pelabuhan Klang, empat anggota polis dari Balai Polis Pelabuhan Klang telah pergi ke Pantai Acheh, Pandamaran di sini, dan telah menahan tujuh lelaki warga Indonesia kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Siasatan yang dijalankan mendapati semua lelaki itu terdiri daripada tekong, krew dan penumpang bot no:GT8S7102 yang didapati membawa lebih daripada 100 penumpang dari Pantai Acheh, Pandamaran, menghala ke Tanjung Balai, Asahan, Sumatera.

Semasa berlepas dari Pantai Acheh, bot yang sarat dengan penumpang itu telah dipukul ombak dan angin kencang menyebabkan ia karam dan telah mengorbankan 14 penumpang warganegara Indonesia.

Hasil siasatan mendapati tertuduh kedua, Syahtria adalah tekong bot itu dan tertuduh pertama, Jimmy bertindak menguruskan penumpang balik ke Indonesia manakala yang lain adalah krew serta penumpang bot terbabit.

Kedua-dua tertuduh didapati menyedari bahawa muatan bot itu berlebihan namun mereka tidak mengambil sebarang langkah untuk mencegah bagi mengelakkan kemalangan.

Justeru, keduadua tertuduh didapati cuai hingga menyebabkan bot itu terbalik dan telah mengorbankan 14 penumpang.

Dalam rayuannya, Jimmy yang tidak diwakili peguam meminta maaf atas kesalahannya dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia perlu menyara isteri, tiga anak serta ibu bapanya di kampung.

"Saya janji tidak akan ulangi kesalahan saya. Saya sembah dan sujud dari hujung kepala hingga hujung kaki tuan agar menjatuhkan hukuman yang seringanringannya kepada saya," katanya.

Syahtria yang juga tidak diwakili peguam juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia telah menyesal atas perbuatannya dan perlu menyara isteri, anak serta ibu bapanya yang sudah tua.

Pembantu Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas keduadua tertuduh dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan di mana kecuaian mereka telah menyebabkan 14 nyawa terkorban.

"Mahkamah juga perlu mengambil kira bahawa faktor kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh dan tambahan pula keduadua tertuduh adalah warganegara asing.

Diharap hukuman yang dijatuhkan akan memberi pengajaran kepada mereka supaya tidak mengulangi kesalahan itu serta pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan perbuatan yang sama," katanya.

Dalam kejadian menyayat hati itu, seramai 11 wanita termasuk seorang yang sedang sarat mengandung dan tiga lelaki lemas manakala 125 lagi terselamat selepas bot yang mereka naiki terbalik ketika dalam perjalanan pulang ke negara mereka untuk menyambut lebaran. BERNAMA

Artikel Lain