suria

UTM Buka Lebih Tempat Program Pasca Siswazah Tahun Ini - Prof Zaini

SKUDAI: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan memberi tumpuan kepada program pasca siswazah dalam perancangan tahun 2010 dengan mensasarkan peningkatan kepada lapan ribu mahasiswa sehingga hujung tahun ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata, usaha ini adalah bagi meletakkan UTM lebih berdaya saing di peringkat global.

Sehubungan dengan itu, strategi yang dirangka untuk program perdana bagi menambah bilangan dan kualiti mahasiswa di peringkat pascasiswazah, terutama peringkat ijazah kedoktoran (Ph.D. dan D.Eng.) di UTM ialah merupakan usaha UTM untuk mencapai taraf Universiti Penyelidikan Inovatif.

"Ini termasuklah strategi dari segi memperkenalkan format baru tesis menggunakan kumpulan artikel ilmiah yang diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi, tempoh tamat pengajian kedoktoran genap tiga tahun sebagaimana amalan semua universiti di Jepun dan peluang mengikuti pengajian sekurang-kurangnya satu semester di universiti luar negara yang bekerjasama dengan UTM," katanya kepada mStar Online. Ia juga akan mempercepatkan pertukaran maklumat dan mencapai matlamat penubuhan IMAP ( Iskandar Malaysia Academic Partnership), ujar beliau.

Strategi value creation pula katanya melibatkan penerbitan artikel dalam jurnal berimpak tinggi, peluang untuk diselia dan menulis artikel bersama profesor pelawat dari universiti ternama, pendaftaran hak cipta dan peluang untuk memulakan syarikat hiliran menggunakan kerangka UTM-SRI (Stanford Research Institute) International selepas tamat pengajian. Zaini berkata, UTM memulakan pengambilan pelajar pascasiswazah pada tahun 1984 dengan hanya 2 orang dan kini bilangannya meningkat kepada 6,342 orang. Buat masa ini, tambah beliau, UTM mempunyai bilangan mahasiswa pascasiswazah paling tinggi di Malaysia dalam bidang teknologi dan kejuruteraan yang merupakan salah satu komponen penting untuk menjayakan model ekonomi inovasi.

"Pada tahun 2009 sahaja, peratus bilangan mahasiswa pascasiswazah di UTM dalam bidang teknologi dan kejuruteraan adalah 43 peratus berbanding dengan keseluruhan mahasiswa di 63 IPT tempatan," ujar beliau lagi.

Tambahnya, eko-sistem intelektual di UTM juga diberi perhatian untuk merangsang penyelidikan berimpak tinggi dalam suasana budaya ilmu, budaya inovasi dan budaya berprestasi tinggi yang subur. "Bilangan dan peratus mahasiswa pasca-siswazah yang bersesuaian juga diambil kira untuk menyediakan perkhidmatan dan kemudahan terbaik dengan kos terkawal dalam memudahkan proses adaptasi nilai aspirasi 1Malaysia," kata beliau.

Prof Zaini juga berkata, inisiatif utama yang akan diberi tumpuan ialah melalui penyediaan eko-sistem yang sesuai untuk menarik dan mengekalkan staf kompeten berkelayakan PhD. Sehubungan dengan itu, UTM akan melantik 100 orang staf antarabangsa berkelayakan Ph D sebelum Jun ini untuk membolehkan lebih ramai staf akademik yang menyelia mahasiswa pascasiswazah.

UTM juga akan menggalak dan membantu staf antarabangsa yang telah lama berkhidmat yang berminat untuk mendapatkan status Penduduk Tetap (PR).

Beliau juga berkata, kemudahan universiti akan turut dinaik taraf melalui sistem peningkatan kemudahan, antaranya menyediakan kemudahan ICT yang lebih baik melalui peningkatan kemudahan jalurlebar perkhidmatan internet UTM daripada 167 Mbps kepada 400 Mbps.

"Kemudahan Internet jalur lebar amat penting dalam penyelidikan yang agak terbatas di Johor Bahru, berbanding di Kuala Lumpur yang mempunyai penyedia hot spot yang banyak di luar kampus.

"Bagaimanapun menurutnya UTM tetap akan menawarkan program prasiswazah, tetapi akan diubah pendekatannya dan ditambah nilai supaya lebih kompetitif dan mempunyai nilai tambah daripada yang sedia ada," jelasnya lagi. Ini bermakna, program perdana di peringkat sarjana muda terus dimantap menerusi pengambilan mahasiswa cemerlang, pedagogi lebih inovatif, program akademik diakreditasi agensi antarabangsa, pendedahan kajian kes yang disediakan oleh Harvard Busines School, peluang mengikuti program global outreach, peluang mengikuti program saintis cemerlang, dan peluang untuk memulakan syarikat hiliran (spin-off) apabila tamat pengajian menggunakan kerangka UTM-MTDC.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain