suria

Kegembiraan Sekarang Adalah Simpanan Untuk Masa Depan - Pemenang Cabutan SSP BSN

KUALA LUMPUR: 'Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'. Itulah pepatah Melayu yang dapat menggambarkan nasib seorang pelajar yang melabur dalam Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) menggunakan perbelanjaan pengajiannya sehingga memenangi sebuah kereta mewah.

Wong Poh Mee, 20, pemenang utama cabutan SSP bulan September yang membawa pulang kereta BMW 320i ini tidak pernah kesal apabila terpaksa berjimat-cermat demi menyimpan wang di BSN.

Pelajar berasal dari Perak ini mengakui sejumlah wang yang diperuntukkan bagi pelaburan itu sebenarnya boleh digunakan untuk tujuan lain bersesuaian dengan usia mudanya seperti gajet atau membeli-belah.

"Mungkin segelintir remaja lain kalau dapat banyak wang, mereka akan seronok berbelanja seperti membeli telefon bimbit baharu atau apa sahaja yang bukan satu keperluan.

"Bagi saya, kegembiraan sekarang adalah simpanan itu nanti dapat dimanfaatkan untuk kegunaan masa depan terutama pada waktu kecemasan," katanya kepada mStar Online.

Poh Mee berkata, sedikit atau banyak bukan menjadi masalah dalam membuat simpanan atau pelaburan bagi dirinya yang masih bergantung kepada ibu bapa dan bantuan pembiayaan pendidikan untuk berbelanja.

Seperti SSP, katanya, ia hanya memerlukan jumlah paling minimum iaitu RM10 yang bukan sahaja merupakan satu produk simpanan yang unik tapi turut memberi peluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik.

Wong Poh Mee (depan, kiri) dan keluarganya bersama kereta BMW 320i yang dimenangi menerusi cabutan SSP BSN bagi bulan September.

"Simpanan itu satu pelaburan dan pelaburan adalah kebaikan untuk masa depan. Jika sekarang ibu bapa saya memberi wang untuk perbelanjaan harian, dengan simpanan berterusan akan membantu mereka pula dari segi kewangan pada masa akan datang.

"Begitu juga dengan waktu kecemasan, kita tidak tahu bilakah ia akan berlaku. Dan apabila ia berlaku, simpanan yang ada sedikit-sebanyak ini akan membantu menangani masalah sebagai contoh bagi membiayai kos perubatan," jelas Poh Mee yang merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik.

Menurut pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi jurusan Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan) ini melihat kemenangannya sebagai pembakar semangat untuk terus menyimpan di BSN.

"Ibu bapa saya berpesan kepada saya supaya belajar merancang kewangan secara bijak dengan membuat simpanan di bank dan BSN sudah tentu menjadi pilihan saya.

"Anda juga boleh menyimpan dalam SSP, mempunyai peluang memenangi hadiah dan faedah yang ditawarkan BSN.

"Tetapi anggaplah hadiah itu sebagai salah satu faedah kita menyimpan kerana apa yang lebih penting adalah kemahuan dan kesungguhan kita untuk menyimpan untuk kebaikan masa depan," tambah Poh Mee lagi.

Sijil Simpanan Premium (SSP) merupakan produk simpanan BSN yang unik dan diperkenalkan sejak tahun 1978.

Hanya dengan RM10 semua penyimpan berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan pada setiap minggu dan bulan di samping memperoleh keuntungan menerusi dividen yang berpatutan.

SSP, BSN, Wong Poh Mee

Artikel Sebelum

Perubahan Wajah Jenayah

Artikel Lain