suria

Perubahan Wajah Jenayah

AWAL tahun ini, saya dijemput untuk menyampaikan ceramah pada persidangan Interpol di Singapura.

Kebanyakan penceramah menyampaikan isu tentang jenayah siber dan saya menyebut tentang jenayah “brick and mortar” di Malaysia iaitu jenayah jalanan, pecah rumah dan seumpamanya. Jenayah ini juga dikenali sebagai “jenayah fizikal”. Tiga minggu lalu, saya dijemput untuk berceramah pada persidangan Forum Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Pulau Pinang dan temanya berkaitan tentang “terrorisme”.

Persidangan itu sangat bagus dengan dihadiri beberapa penceramah dari Malaysia dan serantau.

Kali ini saya mengambil keputusan untuk berbicara tentang perubahan “wajah” jenayah di Malaysia iaitu daripada jenayah fizikal kepada jenayah siber, keselamatan sempadan dan terrorisme.

Bergerak kehadapan, kami akan memperluaskan fokus NKRA Mengurangkan Jenayah untuk merangkumi jenayah siber kerana jenayah ini akan meningkat seiringan dengan aktiviti ekonomi negara.

Bagaimanapun, kami tidak hilang fokus terhadap jenayah fizikal. Dalam jenayah fizikal, orang awam kebiasaannya memberi tumpuan kepada kes pecah rumah dan ragut. Kedua-dua jenis jenayah ini dikenali sebagai “jenayah utama” atau jenayah paling dibimbangi dan mengganggu pemikiran orang ramai.

Kami memulakan NKRA Mengurangkan Jenayah sejak awal tahun 2010. Tahun ini merupakan tahun keenam dan kami telah mencapai pengurangan yang baik dalam jenayah indeks.

Bagaimanapun, orang awam masih dibayangi perasaan takut terhadap jenayah dan kurang kepercayaan kepada polis.

Jenayah siber merujuk kepada mana-mana jenayah yang melibatkan sebuah komputer atau satu rangkaian. Apabila kadar pulangan pelaburan tinggi dan risiko rendah, kami akan mudah mengesan pihak yang sedia mengambil kesempatan terhadap situasi itu.

Situasi inilah yang sering berlaku dalam jenayah siber. Sebagai contoh, kes yang berlaku di Amerika Syarikat (AS). Pada 2011, jumlah jenayah fizikal (rompakan bank) di negara itu melibatkan 5,600 kes rompakan dengan jumlah wang sebanyak AS$43 juta (RM178.4 juta).

Jenayah siber yang berlaku pada perkhidmatan bank di negara terbabit melibatkan jumlah AS$1.1 bilion (RM4.56 bilion), sekali gus menjejaskan 300,000 mangsa. Penjenayah siber dilihat sukar ditangkap dan peluang untuk dipenjarakan adalah satu bagi setiap 50,000 mangsa.

Dalam kes rompakan bank, peluang untuk dipenjarakan adalah satu bagi setiap lima kes. Peningkatan mendadak dalam dunia teknologi digital mengubah asas dalam masyarakat kita. Dari sudut lain, ruang siber merupakan tempat kebebasan, kreativiti dan pertumbuhan pesat teknologi.

Namun di satu sudut lagi, penjenayah akan mengambil kesempatan dan mengeksploitasi ruang yang diberikan bagi menjalankan aktiviti jenayah. Teknologi membuka ruang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah baharu dan melakukan jenayah fizikal seperti jenayah harta dalam bentuk baharu.

Penjenayah boleh melakukan aktiviti tersebut dengan mendapat akses terhadap ramai mangsa yang tidak dikenali dan berada di seluruh dunia, sekali gus membuatkan pihak berkuasa sukar untuk mengesan dan menangkap mereka.

Sebelum ini, seorang pencuri perlu menyusup masuk ke pejabat untuk mencuri maklumat. Tetapi hari ini, pencuri hanya perlu menggodam komputer untuk mendapatkan maklumat. Kaedah jenayah telah berubah dan forensik juga berubah.

Dalam jenayah fizikal, penjenayah meninggalkan bukti forensik yang kebiasaannya jelas. Namun jenayah siber membuatkan penjenayah kebiasaannya tidak meninggalkan kesan bukti yang jelas selepas jenayah berlaku.

Pada 2014, kira-kira tiga bilion pengguna Internet mewakili 45 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia.

Dengan perniagaan dan kerajaan semakin bergantung kepada komputer dan rangkaian berasaskan Internet, kita juga semakin terdedah kepada jenayah siber. Adakah jenayah siber mengatasi jenayah fizikal?

Kebanyakan negara mendapati jenayah siber semakin meningkat berbanding jenayah fizikal yang semakin berkurangan dari segi kes. Situasi ini jelas dapat ditunjukkan menerusi contoh kes di AS dan Malaysia (lihat grafik).

Kesan terhadap dunia akibat jenayah siber melibatkan jumlah yang lebih banyak berbanding pendapatan banyak negara iaitu lebih AS$400 bilion (RM1.66 trilion). menurut McAfee, kesan jenayah siber terhadap ekonomi AS dianggarkan AS$100 bilion (RM414.4 bilion).

Kesan jenayah harta yang merupakan sebahagian daripada jenayah fizikal, dianggarkan berjumlah AS$177 bilion (RM733 bilion). Secara global, kesan jenayah siber terhadap keluaran dalam negara kasar (GDP) dunia melibatkan jumlah kira-kira 0.9 peratus

Malaysia mencatatkan kerugian paling rendah di rantau ini dengan 0.18 peratus daripada GDP. Bagi ekonomi membangun, jenayah itu memberi lebih kesan yang serius selain menjejaskan sektor pekerjaan.

Kajian telah menunjukkan kerugian akibat jenayah siber di AS boleh memberi kesan terhadap 200,000 pekerjaan rakyat Amerika dan menyebabkan perubahan dalam sektor pekerjaan.

Terdapat satu lagi aspek jenayah siber yang menjadi kebimbangan kepada kerajaan di dunia. Ketika lebih ramai orang berhubung (melalui Internet), jenayah terancang juga mengalami situasi yang sama dan bergerak aktif secara antarabangsa.

Kami mendapati jenayah siber berkembang dalam jenayah terancang tradisional seperti pengedaran dadah, memudahkan aktiviti penyeludupan manusia dan barang tiruan.

Banyak kumpulan jenayah terancang mengekalkan hubungan dengan rakan kongsi mereka di negara lain untuk menguruskan operasi mereka. Dengan kemudahan Internet dan telefon bimbit, mereka boleh mengambil kesempatan di ruang yang mengalami kelonggaran kawalan dan menggerakkan logistik tanpa disedari dan dikenali.

Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) menganggarkan kadar transaksi kumpulan jenayah tersebut di rantau terbabit kira-kira AS$870 bilion (RM3.6 trilion).

Perniagaan dadah sahaja meraih keuntungan sebanyak AS$600 bilion (RM2.48 trilion) setiap tahun atau kira-kira lima peratus daripada GDP dunia.

Landskap jenayah secara jelas mengalami perubahan. Saya telah membaca sebuah buku pengurusan bertajuk “I am the market” hasil penulisan Luca Rastello.

Buku itu menceritakan tentang penyeludupan dadah jenis kokain dari Colombia ke Eropah dengan melibatkan jumlah bertan-tan dan kehidupan gembira pengedar dadah.

Jika anda ke negeri utara tanah air, anda boleh melihat peratusan tertentu penduduk tempatan yang mengambil dadah seperti “Pil Kuda” (Amphetamine) dan “Pok Teh” (Heroin).

Bekalan dadah tersebut dipercayai datang dari sempadan Thailand. Penyeludupan di kawasan sempadan negara dilakukan dengan agak mudah walaupun mungkin tidak sama jumlah dengan penyeludupan dari Colombia ke Eropah.

Ia merupakan jenayah terancang yang melibatkan penggunaan Internet dan telefon bimbit. Trend masa depan jenayah terancang sudah wujud di negara kita dengan bergerak secara sulit, menggunakan jenayah sebagai model perkhidmatan perniagaan, menggunakan peralatan digital dan teknologi serta mensasarkan golongan tua yang mudah terdedah dan mewujudkan struktur perniagaan yang sah.

Aktiviti jenayah tersebut mungkin menjadi industri yang lebih berkembang tanpa pengetahuan kita memandangkan ada pihak menggelarnya sebagai “darknet” (kegelapan Internet) atau dikenali juga dengan gelaran “gerakan yang lebih sulit”.

Ia melibatkan penggunaan subset Internet yang mana laman web tersebut tidak boleh dikesan dan tidak boleh diakses melalui enjin carian Google, Yahoo dan Safari.

Laluan darknet ini dipercayai memiliki saiz kira-kira 500 kali ganda berbanding Internet yang kita gunakan pada hari ini.

Kedua-dua jenis jenayah tradisional dan jenayah siber telah beroperasi di Malaysia. Tetapi kebimbangan terhadap jenayah siber adalah berbeza berbanding jenayah fizikal.

Adakah ia disebabkan jarak antara penjenayah dan diri kita?

Sebagai contoh, adakah mengambil duit saya daripada alam maya berbeza dengan mengambil duit melalui cara memecah masuk rumah saya?

Kebimbangan terhadap jenayah fizikal merupakan masalah sosial yang menjejaskan kualiti kehidupan kita. Disebabkan itu, polis secara berterusan meningkatkan usaha untuk mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah.

Usaha tersebut dilakukan secara berterusan bagi membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat memandangkan kepercayaan merupakan faktor penting untuk mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah.

Malah, membina dan mengekalkan kepercayaan dalam kalangan masyarakat merupakan ciri pengawasan yang efektif. Kunci utama untuk mengukuhkan hubungan antara polis dan orang awam adalah kefahaman polis dan menangani kebimbangan utama orang ramai.

Oleh itu, banyak inisiatif difokuskan untuk berhubung dengan orang awam seperti menempat anggota polis di kawasan sibuk, mewujudkan kerjasama antara polis dan persatuan penduduk di kawasan penempatan bagi mengenalpasti kebimbangan berbangkit dan menggunakan media sosial untuk menyiarkan berita dan program positif.

Melalui komunikasi dan tindakan bersama yang lebih baik antara polis dan orang awam, kita boleh mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah dan bersama-sama memberi tumpuan terhadap usaha membanteras jenayah.

Kepercayaan dan keyakinan antara kedua-dua pihak ini perlu diselaraskan dengan tidak hanya tertumpu kepada usaha menangani jenayah tradisional dan gejala anti-sosial. Ia juga boleh membuka laluan terhadap penyaluran lebih maklumat dalam mengesan dan mencegah jenayah.

Sebagai kesimpulan, saya ingin menegaskan beberapa perkara berikut. Walaupun polis mempertingkatkan usaha menangani jenayah baharu dan jenayah yang semakin berkembang, pihak berkuasa tetap memberi tumpuan untuk mengurangkan kadar jenayah tradisional dan mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah dalam kalangan masyarakat.

Pihak polis akan menentang apa jua jenis jenayah sama ada dalam bentuk nyata atau alam maya. Kita juga perlu memainkan peranan untuk menjayakan usaha tersebut.

Apabila melibatkan soal perlindungan daripada menjadi mangsa jenayah fizikal, terdapat perkara jelas yang perlu dan tidak perlu kita lakukan.

Sebagai contoh, kita tidak boleh meninggalkan rumah tanpa memastikan pintu rumah berkunci dan tidak akan meninggalkan sebarang petanda yang menunjukkan kira tiada di rumah atau sedang bercuti.

Bagaimanapun, dalam dunia digital, kita memberi petunjuk tersebut di dalam Facebook atau sebagainya.

Atas sebab tertentu, kebanyakan kita tidak sedar melakukan kesilapan berkenaan apabila melayari Internet.

Sila layari laman web the United Against Crime, www.unitedagainstcrime.com.my, untuk mendapatkan nasihat keselamatan.


Artikel Lain