suria

Rakyat Berhak Untuk Bukan Sahaja Selamat Tetapi Merasa Selamat Juga

Perbincangan Meja Bulat Pencegahan Jenayah: Ke Arah Malaysia Selamat yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi>

SEJAK awal tahun ini, saya telah menulis sembilan artikel berhubung isu jenayah dan menerima maklum balas yang baik daripada pembaca.

Sila layari laman web United Against Crime (Bersatu Membanteras Jenayah) di http://www.unitedagainstcrime.com.my untuk membaca artikel berkenaan.

Rangka kerja bagi kesemua artikel tersebut tertera pada Rajah 1, yang menumpukan kepada kejadian jenayah, perkara yang membawa kepada jenayah seperti yang dilaporkan dan dinilai oleh orang awam. Tindakan di peringkat huluan (upstream) merupakan pencegahan jenayah. Rajah 1 menunjukkan bagaimana sembilan artikel sebelum ini dihuraikan menerusi rangka kerja.

RAJAH 1


Dalam perjalanan NKRA Mengurangkan Jenayah, kami mewujudkan petunjuk prestasi utama (KPI) bersama-sama dengan rangka kerja.

Fokus yang diberikan sebelum ini tertumpu kepada kejadian jenayah berlaku dan jenayah seperti yang dilaporkan dan dilihat.

Dua perkara ini melibatkan 80 peratus daripada KPI. Tindakan seterusnya, kami akan menukar fokus terhadap peringkat huluan (upstream) iaitu menerangkan tentang pencegahan jenayah dan penglibatan masyarakat.

Reaksi terhadap jenayah selepas ia berlaku menjadi ’default mode’ dalam kepolisian. Ia lagi mudah untuk memberi tumpuan kepada tindakan menangani jenayah yang telah berlaku memandangkan ia boleh diukur dan diuruskan dengan senang berbanding pencegahan jenayah.

Dalam artikel kali ini, saya ingin merumuskan kesemua sembilan artikel dan berkongsi usaha seterusnya dalam perjalanan NKRA Mengurangkan Jenayah iaitu Kepolisian Moden.

Dalam Kepolisian Moden, kami akan merangkumi usaha pencegahan jenayah sebagai satu daripada fokus utama dalam kepolisian.

Tujuannya adalah untuk memastikan pelaku berpotensi lebih susah untuk melakukan jenayah.

Dalam artikel terdahulu, saya ingin “berbicara” secara terbuka tentang jenayah memandangkan banyak persoalan terhadap statistik jenayah indeks.

Saya juga mahu berkongsi beberapa daripada amalan dan pemikiran terbaik terhadap subjek itu.

Baru-baru ini pada 3 November lalu, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Pemandu mengadakan perbincangan meja bulat berhubung subjek jenayah. Perbincangan itu dihadiri oleh orang awam, persatuan penduduk, ahli MCPF dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri.

Dalam ucapannya, beliau berkata, kehidupan dalam masyarakat yang sempurna diibaratkan seperti perkahwinan yang sempurna. Keadaan itu boleh berlaku dengan mudah jika si suami pekak dan isteri pula buta, tetapi secara realitinya, perkara tersebut tidak semestinya benar-benar berlaku. Perumpamaan tersebut sama seperti yang cuba disampaikan oleh saya. Apabila saya mula menulis tentang jenayah, ia melibatkan statistik jenayah.

Apabila jenayah berlaku, insiden jenayah akan dimasukkan ke dalam statistik berdasarkan laporan yang disediakan. Jika orang awam memilih untuk tidak melaporkan kes jenayah, ia akan menjadi “angka gelap” iaitu insiden jenayah yang tidak termasuk dalam statistik polis.

Kami mempunyai isu asas. Di satu sudut, polis hanya boleh menyiarkan statistik jenayah yang dilaporkan tidak termasuk angka gelap, tetapi di satu lagi sudut, orang awam mahu melihat keseluruhan kes jenayah yang dilaporkan termasuk angka gelap.

Bagi mendedahkan angka gelap, kami perlu melakukankajian terhadap mangsa jenayah dengan bertanyakan sama ada mereka pernah berdepan insiden jenayah dan sama ada mereka melaporkan kejadian itu kepada polis.

Di beberapa negara maju, kajian merungkai angka gelap perlu dilakukan pada keadaan tertentu tetapi usaha ini tidak boleh dijalankan pada setiap tahun.

Pertamanya, kajian sedemikian melibatkan masa yang panjang dan kos yang tinggi. Keduanya, kajian terbabit tidak menyeluruh dan maklumat yang diperoleh bukan mudah untuk disahkan.

Keadaan ini akan menjurus kepada keperluan untuk menyelaraskan angka yang diperoleh dan tidak banyak nilai diperoleh berdasarkan usaha yang tidak sepatutnya dilakukan melainkan dengan niat untuk tinjauan itu sebagai alat penentu ukur jumlah laporan kes jenayah.

Berdasarkan tinjauan yang kami lakukan sebelum ini, satu daripada setiap empat mangsa jenayah di Lembah Klang tidak melaporkan insiden jenayah kepada polis.

Secara keseluruhan, angka gelap boleh mencecah kira-kira 50 peratus.  Bagi kes ragut, kira-kira 80 peratus mangsa tidak melaporkan kepada polis manakala kes curi kereta pula hampir kosong peratus. Jumlah angka gelap yang tinggi merupakan perkara biasa di kebanyakan negara.

Apabila kami melaporkan jenayah indeks berkurangan sebanyak 40 peratus sejak lima tahun lalu, kira-kira 90 peratus orang awam memberi reaksi bahawa kes jenayah makin meningkat atau kekal sama.

Situasi ini merupakan isu persepsi yang bermaksud kedua-dua pihak melihat gambaran yang sama, tetapi menilainya dengan cara yang berbeza.

Polis menunjukkan trend menurun manakala orang awam menggunakan perasaan mereka untuk melakukan penilaian sehingga membuatkan kepercayaan mereka sebagai nyata.

Apabila orang awam berkata jenayah semakin meningkat, ia bukan disebabkan mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang angka gelap. Tetapi keadaan itu berlaku kerana kebimbangan mereka masih tinggi terhadap jenayah.

Kebimbangan terhadap jenayah merupakan perkara yang nyata kepada setiap individu berdasarkan perasaan yang mereka hadapi.

Kemudian saya menyedari bahawa mungkin situasi tersebut tercetus bukan disebabkan statistik tetapi melibatkan kebimbangan orang awam terhadap jenayah.

Saya percaya bukan sahaja keselamatan orang ramai perlu diberi perhatian, tetapi mereka juga perlu berasa selamat. Jika kita masih berasa tidak selamat, mungkin polis tidak mencapai objektif sebagai simbol penjaga keselamatan dalam mengekalkan kesejahteraan bagi membolehkan kita berasa selesa untuk menjalani kehidupan dengan faktor keselamatan yang jelas.

Perasaan selamat atau tidak selamat memberi kesan kepada kualiti kehidupan kita. Oleh itu, mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah menjadi perkara penting sama seperti mengurangkan jenayah.

Bagaimanapun tugas mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah menerusi pencegahan jenayah tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada pihak polis.

Masyarakat umum mempunyai peranan untuk dimainkan terutamanya dalam usaha mencegah jenayah. Pencegahan jenayah merujuk kepada pendekatan yang dilaksanakan oleh individu, masyarakat, ahli perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan dan setiap peringkat dalam kerajaan.

Tujuannya adalah untuk menyasarkan pelbagai faktor sosial dan persekitaran yang boleh mengundang peningkatan risiko jenayah, gangguan dan pemangsaan.

Terdapat empat komponen yang mempengaruhi kebimbangan terhadap jenayah (rujuk Rajah 2).

RAJAH 2


- Amplifier: cara tradisional dan media sosial menyebarkan insiden jenayah

- Petanda: apa yang anda lihat sebagai gangguan di luar rumah anda membuatkan anda tidak berasa selamat.

- Ruang saya: jika berlaku sesuatu kepada anda, adakah polis akan tiba tepat pada masanya (tindak balas) dan adakah orang awam akan membantu anda?

- Perkhidmatan: pengamalan yang anda peroleh semasa berurusan dengan anggota polis.

Kami mengukur setiap usaha yang dilakukan bagi mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah melibatkan empat komponen di atas dengan bantuan Universiti Sains Malaysia (USM). Alat pengukur itu dikenali sebagai petunjuk persepsi jenayah (CPI).

Apabila CPI diselaraskan, kami akan menyiarkan keputusan ukuran bersama-sama dengan statistik jenayah indeks.

Sebagai tambahan untuk mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah, kami menekankan kepentingan penglibatan masyarakat dalam program Kepolisian Moden.

Kepolisian Moden akan menerangkan secara khusus dua daripada empat komponen yang bertanggungjawab terhadap kebimbangan jenayah iaitu Ruang Saya (responsif) dan Perkhidmatan.

Dua komponen berkenaan secara langsung di bawah bidang PDRM.

Dua lagi komponen iaitu Amplifier dan Petanda, akan diterangkan secara berasingan.

Perjalanan NKRA Mengurangkan Jenayah merupakan satu tugasan berterusan sehingga tahun 2020. Kami telah melengkapkan GTP1 (2010 hingga 2012) dan kini akan menyelesaikan GTP2 (2013 hingga 2015).

Langkah seterusnya ialah GTP3 yang bermula pada 2016 sehingga 2020. GTP3 akan memberi tumpuan kepada program Kepolisian Moden (pencegahan jenayah dan penglibatan masyarakat) dan menyalurkan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang awam.

Program itu juga melibatkan isu jenayah siber dan keselamatan sempadan.

Ini merupakan artikel saya yang terakhir berhubung jenayah bagi tahun ini.

Sila layari laman web United Against Crime untuk sebarang maklumat baharu berhubung perjalanan NKRA Mengurangkan Jenayah.

Untuk artikel seterusnya, saya mungkin akan menulis tentang inisiatif Transformasi  Penyampaian Servis Perkhidmatan Awam (PSDT).

Sila luangkan masa untuk membaca artikel berkenaan inisiatif ini.

Datuk Dr. Amin Khan merupakan Pengarah Pemandu NKRA Mengurangkan Jenayah. Beliau boleh dihubungi menerusi [email protected].

Segala pandangan dalam artikel ini ditulis oleh beliau sendiri.

NKRA, KPI, Polis, Pemandu

Artikel Berikut

Perubahan Wajah Jenayah

Artikel Lain