suria

Berdasarkan Maklumat Yang Tidak Lengkap, Orang Ramai Sering Mengambil Jalan Pintas Untuk Memberikan Pandangan

KIRA-KIRA sebulan lalu, saya menghadiri karnival “Bersama Membanteras Jenayah” yang dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri di Johor Bahru.

Pada sidang akhbar, ada disebutkan tentang kadar jenayah menurun sebanyak 40 peratus sejak lima tahun lalu tetapi ramai rakyat Malaysia percaya jenayah semakin meningkat atau masih di tahap sama.

Perbezaan dua situasi itu dalam lingkungan 90 peratus. Kami menggelar perbezaan ini sebagai perbezaan “Persepsi Realiti” atau perbezaan “Menenteramkan”.

Pada forum yang sama, seorang daripada wartawan bertanya, “jika kadar jenayah berkurangan, mengapa kita masih berasa bimbang terhadap jenayah?”

Secara ringkasnya, soalan dia bermaksud mengapa kebimbangan terhadap jenayah masih tinggi.

Seorang lagi wartawan menyoal sama ada kadar jenayah telah berkurangan disebabkan orang ramai tidak melaporkan aktiviti jenayah kepada polis.

Saya pada mulanya hairan dengan kenyataan tersebut tetapi menyedari bahawa itu merupakan realiti yang dialami di peringkat masyarakat umum. Orang ramai tidak percaya statistik jenayah yang dikeluarkan oleh pihak polis.

Itu sebabnya kebimbangan terhadap jenayah masih lagi tinggi.

Sebagai tambahan, masyarakat percaya tidak semua jenayah direkodkan kemungkinan disebabkan polis tidak mahu berbuat demikian.

Statistik yang dikeluarkan oleh polis sebenarnya sah dan boleh dipercayai.

Dalam artikel saya bertajuk “Putting the brakes on car theft” (Membrek kes curi kereta) yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 17 Mei, jumlah kes kecurian kereta yang dilaporkan kepada polis lebih tinggi berbanding jumlah laporan kepada syarikat insurans.

Jadi perdebatan tentang polis tidak merekodkan kejadian jenayah adalah tidak benar sama sekali.

Malah, berdasarkan projek kaji selidik kami berhubung “Kepolisan Moden” di balai polis Brickfields dan Taman Tun Dr. Ismail di Kuala Lumpur, kami mendapati 80 peratus laporan polis yang dibuat sebenarnya tidak mempunyai kaitan dengan jenayah.

Sebagai contoh, laporan yang dibuat adalah berkaitan kehilangan kad pengenalan, pergaduhan antara suami isteri, kelahiran anak dan seumpamanya.

Dalam artikel saya bertajuk “Throwing light on the crime statistics” (Menyingkap statistik jenayah) yang disiarkan dalam The Star pada 9 April, saya menerangkan tentang kiraan gelap jenayah atau “dark figures” yang tidak dilaporkan pada polis.

Kiraan gelap itu didapati berdasarkan hasil tinjauan terhadap mangsa-mangsa jenayah.

Dalam kajian ringkasyang kami jalankan di Malaysia pada hujung 2014, kami mendapati angka gelap itu berjumlah kira-kira 50 peratus. Jumlah itu merupakan perkara lazim yang berlaku di kebanyakan negara seperti yang ditunjukkan pada Jadual 1.

“Terdapat banyak sebab kejadian jenayah tidak dilaporkan seperti yang ditunjukkan pada Jadual 2 (berdasarkan satu kajian di Amerika Syarikat).

Pada pandangan saya, orang awam perlu melaporkan semua kejadian jenayah."

Keupayaan polis untuk memenuhi tanggungjawab mereka bergantung kepada laporan jenayah yang dimaklumkan oleh orang awam.

Bagaimana lagi polis boleh memastikan pesalah dibawa ke muka pengadilan dan keperluan serta harapan mangsa dipenuhi?

Merujuk kembali pada perbezaan persepsi realiti, saya ingin mengulangi bahawa jenayah dan kebimbangan terhadap jenayah tidak mempunyai kaitan. Kedua-dua perkara itu merupakan “sepupu jauh”.

Kadar jenayah merupakan ukuran yang objektif berbanding kebimbangan jenayah yang merupakan ukuran subjektif.

Situasi yang sama juga berlaku dengan masa sebenar yang diambil berdasarkan jam randik tidak sama dengan masa “psikologi” yang bermain di minda kita.

Apabila kami memaklumkan jumlah (jenayah) berkurangan, orang ramai tidak dapat menerimanya dengan mengeluarkan kenyataan “jiran saya berkata kawannya telah dirompak” atau “rumah saya dipecah masuk sebanyak dua kali dalam tempoh tiga bulan”.

Oleh sebab itu, orang ramai mempunyai persepsi bahawa kadar jenayah tidak berkurangan.

Kadar jenayah sebenarnya bergantung kepada laporan jenayah kepada polis.

Cerita jiran tentang rumahnya dipecah masuk dua kali dalam tempoh tiga bulan merupakan “perbualan” tentang kejadian itu.

Kami mengukur jumlah kejadian yang dilaporkan dalam setahun tetapi “perbualan” mungkin berdasarkan satu kejadian atau beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini atau telah lama berlaku.

Situasi itu juga wujud ekoran penyebaran gambar banyak kejadian jenayah tetapi secara realitinya insiden itu berlaku sekali namun diulangi banyak kali.

Perbualan menyebabkan peningkatan kebimbangan terhadap jenayah berbanding fakta dan statistik yang hanya memberi pengaruh kecil terhadap perasaan orang awam.

Saya telah terlibat dengan NKRA Mengurangkan Jenayah lebih daripada setahun.

Apabila statistik teruk, orang awam kebiasaannya menerima dan menggunakannya untuk mengkritik pihak berkuasa. Tetapi apabila statistik baik, mereka langsung tidak percaya.

Keadaan ini merupakan cabaran yang serius memandangkan jenayah merupakan kebimbangan nombor satu orang awam.

Persepsi tentang kecekapan menangani jenayah merupakan pemacu utama pandangan keseluruhan terhadap polis dan kualiti kehidupan rakyat.

Di kebanyakan negara, dasar-dasar tertentu dilaksanakan bagi mengurangkan tahap kebimbangan. Malah, kebimbangan terhadap jenayah dikenalpasti sebagai masalah yang lebih luas berbanding kejadian jenayah itu sendiri.

Seperti yang saya terangkan dalam artikel “Do you care when crime happens” (Adakah anda peduli apabila jenayah yang berlaku) yang disiarkan dalam The Star pada 5 Julai lalu, media memainkan peranan utama untuk mempengaruhi kebimbangan terhadap jenayah.

Sebagai contoh kes virus maut Ebola yang berlaku pada tahun lalu, satu kajian menunjukkan kira-kira 40 peratus rakyat Amerika percaya wabak itu akan merebak secara meluas di Amerika Syarikat sedangkan tanggapan itu jauh daripada realiti.

Jadi mengapa dua perkara itu (tanggapan dan realiti) tidak berhubung? Pihak media sebenarnya mengakui mungkin keadaan tersebut berlaku disebabkan salah mereka.

Pada zaman ini, komunikasi 24 jam melalui internet, kita boleh menonton kejadian jenayah seperti yang dipaparkan melalui televisyen atau portal berita.

Kita juga boleh merasai pengalaman tersebut menerusi laman media sosial. Media membawa kita dekat pada kejadian yang berlaku menerusi kawalan emosi iaitu sedih, marah atau takut dengan memaparkan imej yang disiarkan.

Disebabkan pengaruh tersebut, kita berasakan seolah-olah berada di tempat kejadian jenayah.

Situasi ini merupakan perkara biasa dan dikenali sebagai “kewujudan berat sebelah” yang bermaksud jalan pintas mentaliti untuk mentafsirkan maklumat yang tidak lengkap.

Kita mewujudkan satu gambaran jenayah menggunakan contoh yang mudah mempengaruhi fikiran.

Sebagai contoh, adakah lebih banyak perkataan Inggeris yang bermula dengan huruf “K” atau lebih banyak huruf “K” sebagai huruf ketiga? Jawapannya, lebih dua kali ganda perkataan Inggeris mempunyai huruf “K” pada kedudukan ketiga berbanding permulaan perkataan.

Namun kita percaya jawapan yang sebaliknya, kerana kita boleh memikirkan perkataan yang bermula dengan huruf “K” dengan lebih cepat.

Anda boleh menonton bagaimana “kewujudan berat sebelah” berfungsi menerusi pautan, https://www.youtube.com/watch?v=2_wkv1Gx2vM.

Kita bergantung kepada media untuk mendapatkan maklumat berhubung jenayah dan kita membentuk pendapat sendiri berdasarkan maklumat yang dibaca dan didengari. Sebanyak 95 peratus rakyat Amerika memetik media massa sebagai sumber utama tentang jenayah dan 75 peratus percaya laporan media boleh diharapkan

Di United Kingdom, apabila ditanya mengapa mereka fikir lebih banyak jenayah berlaku pada hari ini, lebih daripada separuh akan menjawab, ia disebabkan apa yang mereka tonton dalam televisyen dan hampir separuh lagi berkata, ia disebabkan maklumat yang disebarkan dalam surat khabar.

Situasi yang sama berlaku dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh syarikat kajian global, Frost and Sullivian pada tahun lalu di Malaysia apabila lebih 40 peratus responden memaklumkan kebimbangan yang tinggi terhadap jenayah ekoran pendedahan media tradisional.

Berita yang dipaparkan media adalah berat sebelah ke arah pandangan negatif. Media lebih gemar memberi tumpuan terhadap jenayah ke atas individu terutamanya kes pembunuhan atau kesalahan seksual.

Di United Kingdom, sebanyak 45 peratus jenayah yang dilaporkan dalam surat khabar melibatkan kes seksual atau keganasan berbanding hanya tiga peratus jenayah yang sama dilaporkan kepada pihak polis.

Begitu juga di Amerika Syarikat apabila satu kajian menunjukkan dua pertiga daripada berita jenayah melaporkan tentang keganasan dan seks berbanding kurang 10 peratus kes yang sama dilaporkan kepada pihak polis (walaupun kira-kira 65 peratus kes lagi tidak dilaporkan). Kadar kes pembunuhan menurun sebanyak 20 peratus tetapi liputan kes itu meningkat 600 peratus.

Keadaan ini mempunyai kaitan dengan jualan (akhbar), adakah ia (berita) serius, adakah mempunyai elemen minat ramai dan elemen drama. Berita jenayah keganasan “mempunyai pasaran” kerana ia mengandung visual yang bagus kepada media. Seperti yang sering dikatakan, “jika ia berdarah, maka ia berita utama”.

Ketakutan merupakan perkara yang tidak rasional dan kita sering dipengaruhi dengan apa yang kita dengar dan baca daripada media selain perbualan bersama rakan-rakan dan keluarga.

Mendengar kisah jenayah terutamanya daripada ahli keluarga dan rakan-rakan meningkatkan kebimbangan kita terhadap jenayah. Situasi ini boleh digambarkan sebagai “pengganda jenayah”.

Berdasarkan kajian fakta, pengalaman tidak langsung terhadap jenayah boleh memainkan peranan yang lebih kuat dalam meningkatkan kebimbangan.

Apa yang boleh kita lakukan untuk mengawal perbualan dan menukar situasi itu kepada perkara yang lebih positif? Bolehkah kita menggunakan perbualan yang sama untuk mewujudkan perasaan yang lebih selamat dan terjamin?

Kita boleh mengawal perbualan dengan menapis pendapat dan menumpukan kepada fakta.

Kita juga boleh mewujudkan dan menyertai perbualan dalam cara yang positif dan proaktif dengan melibatkan diri dalam Rukun Tetangga, Rakan Cop dan persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau kempen seperti Bersama Menentang Jenayah.

Inisiatif ini boleh menyampaikan proses hulu bagi menghalang jenayah daripada berlaku.

Tindakan secara bersepadu, berbual antara satu sama lain dan melakukan sesuatu akan memberi rasa terjamin dan mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah.

Dalam artikel saya seterusnya, saya akan menyampaikan tentang Kepolisan Moden iaitu transformasi dalam pasukan polis.

> Datuk Dr. Amin Khan merupakan Pengarah Pemandu NKRA Membanteras Indeks Jenayah. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]. Artikel ini merupakan pandangan beliau.

> Bagi membaca artikel yang disiarkan dalam The Star sebelum ini, sila lawati, http://www.unitedagainstcrime.com.my/articles

Artikel Sebelum

Zakat Perniagaan Suburkan Harta

Artikel Berikut

Artikel Lain