suria

Lebih 52 Sekolah Sertai Karnival Sekolah BSN 2015

KUALA LUMPUR: Lebih 52 sekolah terpilih menyertai program mengumpul dana di bawah tanggungjawab sosial korporat Bank Simpanan Nasional (BSN) iaitu Karnival Sekolah BSN 2015.

Program yang berlangsung selama sehari itu merupakan inisiatif BSN untuk membantu pihak sekolah meningkatkan dana sekolah masing-masing melalui jualan amal dan aktiviti yang dijalankan.

Bagi setiap sekolah yang terpilih, BSN memberikan tajaan sebanyak RM10,000.

Pengarah Perniagaan Negeri BSN Kuala Lumpur, Noraini Mohd Johan berkata, tajaan itu bertujuan untuk pihak sekolah menjalankan karnival dan pertandingan bakat dan mewarna yang turut diadakan pada karnival tersebut.

"BSN menaja RM5,000 untuk pihak sekolah melaksanakan karnival tersebut dan RM5,000 lagi sebagai hadiah wang tunai pertandingan bakat dan mewarna.

"Hadiah wang tunai untuk pertandingan tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun Giro BSN para pemenang," kata Noraini.

Selain itu, inisiatif tanggungjawab sosial BSN ini juga dilaksanakan untuk memperkasakan tabiat menyimpan di kalangan pelajar sekolah melalui kelab penyimpan BSN, Kelab Penabung Muda (KPM) dan pertandingan simpanan pelajar BSN iaitu Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP).

Noraini berkata, BSN sentiasa memberi penekanan untuk mendidik golongan muda memahami kepentingan menyimpan dan berjimat-cermat.

"KPM dan SGSP adalah platform terbaik untuk anak-anak menyimpan wang kerana ia bukan sahaja memberi pulangan dalam bentuk dividen, malah mempunyai keistimewaan seperti insurans dan hadiah pertandingan yang lumayan,” tambahnya lagi.

Karnival Sekolah BSN 2015 berlangsung sehingga 30 November depan.

Lebih 52 sekolah yang terpilih melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.

Baru-baru ini, BSN mengadakan program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Gombak Utara, Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, BSN turut mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Sijil Simpanan Premium (SSP) kepada pemenang Cabutan Tempatan bagi Ogos 2015 iaitu Arbaaton Abd Rahman dari Taman Melati, Kuala Lumpur yang memenangi sebuah kereta Perodua Axia.

BSN, Sekolah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pesara Kongsi Tips Jimat Cermat

Artikel Lain