suria

Menguatkuasakan Undang-Undang Bukan Mudah, Kita Perlu Mendepani Kedua-Dua Proses 'Huluan' Dan 'Hiliran' Dalam Usaha Menangani Jenayah

PADA artikel terdahulu tentang “Menghalang jenayah merupakan pilihan lebih baik,” saya menerima banyak komen positif dan konstruktif.

Namun seseorang memberitahu saya, artikel itu merupakan penyampaian akademik dan tertanya-tanya sama ada jenayah benar-benar menurun? Pada peringkat bawah sebagai orang awam, dia tidak merasa atau melihat kesan penurunan itu.

Komen di atas dalam banyak hal merumuskan apa yang telah saya perkatakan mengenai statistik jenayah sebelum ini, dan kebimbangan terhadap jenayah seperti yang saya katakan sejak mula menulis tentang jenayah.

Dua perkara itu mempunyai kaitan tetapi tidak saling berhubung kerana penurunan jenayah tidak akan mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah. Anda boleh menonton “kisah Dugong” yang dihasilkan oleh pelawak, Kavin Jay dalam laman web www.unitedagainstcrime.my.

Indeks jenayah menunjukkan penurunan sejak 2010 sebanyak 40 peratus. Statistik ini adalah benar dan mempunyai asas yang konsisten sejak 35 tahun lalu. Jadi semestinya pengurangan jenayah dan usaha untuk mengekangnya sedang giat dilaksanakan. Tetapi kenapa pada peringkat bawah, usaha ini tidak dirasai?

Kebimbangan terhadap jenayah masih tinggi dan orang masih meragui bahawa jenayah menurun. Mari saya kongsi beberapa kisah tentang usaha mengekang dan mengurangkan jenayah, cabaran dan kesan kebimbangan terhadap jenayah.

Pertama adalah kamera litar bersembunyi (CCTV) yang merupakan fokus melaksanakan proses hiliran berbanding proses hulu. Seperti yang saya terangkan pada artikel terdahulu menerusi tajuk “Menghalang jenayah merupakan pilihan lebih baik”, proses hilir merujuk kepada sistem keadilan jenayah iaitu proses siasatan, menangkap dan mendakwa penjenayah. Proses huluan pula merujuk kepada usaha mencegah jenayah bagi memastikan orang ramai selamat dan berasa selamat.

Saya bertemu dengan persatuan penduduk dan mereka menegaskan bahawa Kerajaan perlu memasang CCTV di dalam kawasan kediaman mereka. Disebabkan itu saya bertanya kenapa mereka memerlukan CCTV? Kemudian mereka membalas, “mereka boleh mengesan identiti penjenayah yang terlibat dalam kes pecah rumah”.

Tindakan itu memberi penekanan tentang penangkapan penjenayah selepas jenayah berlaku (proses hilir) berbanding mencegahnya.

Kita sepatutnya menggunakan CCTV yang dilengkapi sistem kawalan pemantauan untuk menghalang jenayah (proses hulu) dan jika jenayah berlaku, baru kita gunakan CCTV untuk mendapatkan imej bagi menangkap penjenayah (proses hilir).

Dalam kajian di Australia, peningkatan tangkapan memberi faedah yang singkat tetapi tidak menghalang jenayah untuk jangka masa panjang. Situasi ini menunjukkan kita perlu memberi tumpuan kepada proses hulu seperti yang dikatakan oleh seorang komentar, “cari punca jenayah” dan langkah-langkah untuk menghalang jenayah daripada berlaku. Tugas ini merupakan cabaran yang sukar.

Saya akan mengaitkan kisah kedua tentang kesukaran melaksanakan proses hulu apabila melibatkan lebih daripada satu agensi. Saya tinggal di satu kawasan kediaman yang sunyi dengan sebatang jalan mati di luar pagar komuniti. Sejak akhir-akhir ini, terdapat beberapa buah lori membawah tanah yang dikorek dari sungai berdekatan menggunakan jalan mati bersebelahan dengan tempat tinggal saya, sekali gus menjadikan lokasi tersebut sebagai kawasan kuari yang besar. Jalan mati tersebut mempunyai pagar dan tanah kosong yang merupakan tanah persendirian dengan pengawal keselamatan warga asing.

Pergerakan lori berkenaan mencetuskan pencemaran, menyebabkan kawasan itu menjadi berdebu terutamanya semasa cuaca panas dan mengakibatkan jalan menjadi kotor (lihat gambar). Penduduk tempatan yang kebiasaannya mengayuh berbasikal atau bersiar-siar pada waktu petang, tidak lagi berbuat demikian.

Disebabkan jalan berkenaan tidak dibina untuk kenderaan berat, kami dapat melihat beberapa lopak dan kerosakan pada jalan itu. Baru-baru ini, majlis perbandaran menurap semula jalan   -menggunakan duit pembayar cukai. Tetapi kewujudan lori tersebut mengancam kesihatan dan keselamatan kami. Kualiti hidup kami juga terjejas akibat pencemaran bunyi dan debu (udara) yang berlaku.

Pihak penduduk telah mengemukakan aduan kepada majlis perbandaran. Pegawai majlis telah datang sebanyak dua kali dan mengambil gambar, tetapi tiada perubahan yang berlaku. Penduduk juga mengadu kepada polis disebabkan tindakan gengster mengugut dan memaksa pengawal keselamatan membuka pintu pagar untuk membenarkan lori menggunakan jalan itu. Kemudian polis datang ke lokasi kejadian untuk memeriksa lori tersebut dan operasi hanya berhenti sehari sahaja sebelum bersambung semula.

Pihak berkuasa berdepan kesukaran untuk menangkap mereka yang terlibat disebabkan kehadiran ejen “TONTO”. TONTO merupakan pemberi maklumat yang menerima wang perlindungan daripada kontraktor atau pemilik perniagaan. TONTO bermaksud “Tolong Orang & Tipu Orang”.

Pihak berkuasa telah berusaha sedaya-upaya tetapi pihak yang menjalankan operasi kuari dan pemandu lori sangat degil. Saya pernah terbaca artikel dalam The Star pada 3 Ogos 2015 tentang “lori hantu” (lori yang membawa lebih muatan), di Sarawak masih beroperasi walaupun pihak berkuasa telah membina penghalang ketinggian dan usaha lain. Kewujudan lori hantu menyebabkan kerosakan kemudahan awam dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Situasi itu sama seperti di kawasan kediaman saya kerana ia merupakan satu jenayah tetapi penguatkuasaan undang-undang merupakan satu cabaran kerana tiada agensi yang berkesan untuk menghalang kegiatan tersebut. Kita mempunyai banyak undang-undang bertulis untuk mengeluarkan lesen, tetapi tidak boleh dikuatkuasakan dengan mudah.

Dari segi pelaksanaan, kita mempunyai beberapa agensi yang terlibat iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial dan majlis perbandaran. Tetapi agensi mangsa yang sebenarnya bertanggungjawab untuk menghalang aktiviti lori berat yang mencetuskan pencemaran, kerosakan jalan dan membahayakan nyawa penduduk? Saya yakin bahawa kita semua pernah merasai pengalaman ini.

Tugas melaksana dan menguatkuasakan undang-undang bukan mudah dan tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada pihak polis sahaja. Penguatkuasaan merupakan usaha pelbagai agensi walaupun secara teorinya polis merupakan pihak utama yang bertanggungjawab menggalas tugas itu. Mereka masih memerlukan sokongan daripada agensi lain dan prosedur operasi standard (SOP) yang betul perlu dilaksanakan. Jenayah hanya boleh dihalang dan dikurangkan melalui penyelarasan dan kerjasama dalam kalangan semua agensi.

Dalam kes ini, bagaimana langkah yang perlu kita ambil untuk mengukuhkan proses hulu bagi menghalang pengusaha yang tidak bertanggungjawab daripada terus melakukan kekacauan? Mungkin pihak berkuasa boleh menetapkan syarat lesen kuari bahawa pengusaha perlu bertanggungjawab memastikan jalan dan kawasan penempatan berhampiran tidak terjejas. Langkah ini dilihat lebih berkesan berbanding menangkap pemandu lori.

Kegagalan menguatkuasakan undang-undang, lebih-lebih lagi kehadiran TONTO, menyebabkan penduduk berasa bimbang terhadap jenayah dan merasakan tidak selamat selain hilang keyakinan kepada pihak berkuasa.

Undang-undang dan perintah bukan sahaja melibatkan penangkapan pesalah, tetapi melibatkan usaha mengekalkan keamanan dan keselamatan. Kita perlu menggerakkan proses hilir dan hulu sebagai satu bekerjasama iaitu proses hulu menghalang jenayah dan menjamin keselamatan manakala proses hilir untuk menangkap penjenayah apabila jenayah berlaku dan menjamin keselamatan.

Kegagalan melaksanakan dua proses itu secara keseluruhan akan menyebabkan kesukaran kepada kita untuk mengurangkan ketakutan terhadap jenayah. Dalam isu jenayah, kita sering bercakap tentang rasa selamat dan keselamatan.

Selamat merujuk kepada tindakan menghalang jenayah daripada berlaku dan memastikan orang ramai selamat dan berasa selamat. Sebagai contoh, kewujudan “WhatsApp Neighborhood Watch” merupakan inisiatif menghalang jenayah yang membolehkan ahli kumpulan saling memberi peringatan, menghalang jenayah dan membuatkan orang ramai berasa selamat.

Keselamatan pula merujuk kepada tindakan melindungi orang ramai daripada cedera dan harta daripada rosak akibat tindakan sengaja pihak tidak bertanggungjawab. Contohnya, membina pintu keselamatan.

Dalam isu CCTV, kita sepatutnya menggunakan teknologi itu untuk menghalang jenayah bagi memastikan kawasan persekitaran selamat berbanding menangkap penjenayah. Penduduk tempatan kemudiannya perlu memastikan penggunaan CCTV sebagai berkesan untuk memberi amaran kepada penjenayah bahawa mereka sedang diperhatikan. Berbanding “melihat ke dalam”, sistem CCTV perlu berfungsi “melihat ke luar” sebagai mata di tempat awam dan harus dipantau dengan baik.

Apabila masyarakat bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti dalam kes kehadiran lori di kawasan kediaman dan “lori hantu”, mereka menekankan tentang kekacauan dan campur tangan bagi meminimumkan kegiatan tidak bermoral. Persatuan penduduk bertindak sebagai kumpulan bersepadu untuk melaksanakan bentuk kawalan sosial bagi menghalang jenayah berlaku di kawasan mereka dan mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah.

Perasaan takut terhadap jenayah tidak dapat disangkal dengan kejayaan mengurangkan kadar jenayah. Kebimbangan itu boleh wujud dengan laporan media, isyarat dan petanda yang dilihat dalam persekitaran kita, keyakinan kita terhadap kualiti perkhidmatan yang disampaikan oleh pihak polis. Ketakutan merupakan satu penyakit berjangkit dan boleh mengelirukan realiti sebenar tentang jenayah. Luangkan masa untuk menonton sendiri “kisah Dugong” pada laman web www.unitedagainstcrime.com.my.

Bagi mengurangkan perasaan subjektif “tidak selamat” atau “kurang penguatkuasaan” dalam persekitaran, kita memerlukan pihak berkuasa untuk melakukan tugas penguatkuasaan secara konsisten.

Setiap agensi berfungsi dengan cara tersendiri. Bagi menjadi agensi yang lebih berkesan, mereka perlu mengubah cara mereka dan SOP yang digunakan.

Seperti yang ditekankan sebelum ini, kita perlu menjayakan proses hulu dan hilir bagi mencegah jenayah, menurunkan jenayah dan mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah. Bagi pihak berkuasa, tugas tersebut merupakan usaha pelbagai agensi dan tindakan berterusan. Sebagai individu dan sebahagian daripada masyarakat, mari kita sama-sama terlibat dan membantu menghalang jenayah daripada berlaku.

Datuk Dr Amin Khan adalah Pengarah Pengurangan Jenayah Pemandu NKRA. Beliau boleh dihubungi di [email protected]. Apa dinyatakan di sini pandangannya semata-mata. Pembaca juga boleh berkongsi pandangan di http://unitedagainstcrime.com.my.


Pemandu, NKRA, Tonto, Jenayah

Artikel Lain