suria

Mencegah Jenayah Merupakan Pilihan Lebih Baik

MENCEGAH dan mengesan jenayah serta memelihara keamanan awam sudah menjadi mandat kepada pihak polis sejak tahun 1807. Bagaimanapun, peranan dan fungsi polis sudah berubah mengikut keadaan semasa. Misi mereka menjadi lebih luas dan rumit.

Terdapat dua bahagian dalam proses jenayah iaitu proses downstream (hilir) dan proses upstream (hulu). Proses hilir adalah “siasatan jenayah” manakala proses hulu digelar sebagai “pencegahan jenayah”. Kedua-dua bahagian terbabit merupakan proses yang sangat penting dalam mengurangkan jenayah.

Benarkan saya kongsi bersama tentang kisah perkampungan nelayan, di mana saya dibesarkan di kawasan kampung di sepanjang sungai di Miri. Orang kampung disana dikenali dengan sifat ihsan dan keprihatinan terhadap orang lain. Kadangkala, tragedi akan berlaku kepada kami, seperti seseorang meminta tolong akibat dihanyutkan air sungai yang mengalir di kampung kita.

Semestinya kami akan membantu mangsa tersebut. Kebanyakan usaha menyelamat berjaya dilaksanakan dan ada juga mangsa yang kurang bernasib baik. Ketika lebih ramai orang dihanyutkan dan meminta tolong, situasi itu telah mengganggu aktiviti penduduk di kampung saya.

Kemudian penduduk kampung berkumpul untuk membincangkan langkah yang lebih baik menangani situasi berkenaan. Kami membentuk pasukan menyelamat dan membina sebuah bot rumah (boathouse) serta menara pemantauan berdekatan sungai. Tujuannya sebagai langkah berjaga-jaga dan memberi tindak-balas yang lebih berkesan.

Selepas beberapa tahun, kami menyempurnakan sistem tersebut. Kami mencapai banyak kejayaan dalam operasi menyelamat tetapi kami juga sedar tidak semua orang dapat diselamatkan jika hanyut di dalam sungai. Perbelanjaan kami juga meningkat saban tahun. Satu hari, seorang pengunjung bertanya kepada ayah saya, “Kenapa anda tidak ke hulu sungai untuk menyelidik sebab ramai orang jatuh ke dalam sungai?”.

Kisah tersebut sama seperti sifat semula jadi dan masalah jenayah. Kenapa polis tidak “ke hulu” dan menyiasat sebab ramai orang menjadi mangsa jenayah ragut dan pecah rumah? Berdasarkan kajian yang kami lakukan pada tahun lalu, terdapat dua jenayah yang menjadi “persepsi utama” dalam pemikiran orang awam. Tindakan mengurangkan dua jenayah ini boleh mengurangkan kebimbangan terhadap jenayah.

Sebahagian besarnya adalah peragut merupakan penagih dadah. Nisbah tersebut dianggarkan kira-kira 50 peratus. Masalah ketagihan dadah merupakan masalah sosial terbesar di dalam negara kita yang menjurus kepada aktiviti jenayah lain.

Jika kita tidak menyiasat di bahagian “hulu”, kita akan terus membina lebih banyak balai polis, merekrut lebih ramai anggota polis, membina lebih banyak penjara dan seterusnya. Akibatnya, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih banyak duit cukai yang dibayar rakyat terhadap sistem keadilan jenayah. Malah orang awam juga akan kehilangan lebih banyak wang ekoran peningkatan kadar jenayah.

Proses hilir pula berkaitan dengan sistem keadilan jenayah iaitu pelaksanaan undang-undang oleh polis, hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah dan sistem pemulihan di dalam penjara. Proses hilir ini merupakan tanggungjawab pihak berkuasa. Tetapi proses hulu merupakan tanggungjawab kita semua iaitu masyarakat dan pihak berkuasa.

Apabila kita ke hilir, kita akan mengetahui punca sebenar masalah. Dalam bahasa mudah, terdapat dua komponen proses hilir iaitu anda (biologi) dan anda di dalam masyarakat (sosiologi). Berdasarkan sosiologi, ia terbahagi kepada dua komponen iaitu kawalan sosial dan perpaduan sosial (subjek yang pernah diterangkan dalam artikel bertarikh 5 Julai lalu). Bahagian biologi perlu diberi perhatian, sebagai contoh, kenapa “Botak Chin menjadi Botak Chin,” “Mona Fandey menjadi Mona Fandey?” dan seterusnya.

Polis telah menubuhkan jabatan baharu dikenali sebagai Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Awam (JPJKK). Tujuannya adalah untuk mendalami proses hilir dan mengukuhkan tindakan pencegahan aktiviti jenayah. Bagi melaksanakan proses tersebut, polis perlu terlibat bersama masyarakat. Penglibatan ini wajar kerana dua sebab iaitu bagi mengurangkan ketakutan jenayah dalam kalangan masyarakat dan mendapatkan maklumat tentang potensi aktiviti jenayah.

Penubuhan JPJKK sangat tepat pada masanya. Walaupun indeks jenayah dikurangkan sebanyak 40 peratus sejak lima tahun lalu, kebimbangan orang awam terhadap jenayah masih tinggi atau kekal pada tahap sama. Situasi berkenaan mencetuskan perbezaan persepsi realiti sebanyak 90 peratus. Orang awam akan membuat penilaian sendiri berdasarkan kebimbangan mereka terhadap jenayah. Perbezaan sebanyak 90 peratus itu juga dikenali sebagai “Perbezaan Jaminan” atau “Reassurance Gap” dalam sesetengah negara lain.

Kajian juga menunjukkan pengurangan perasaan tidak selamat dan berisiko oleh orang ramai boleh memberi kesan positif terhadap persepsi berhubung jenayah. Situasi ini bermaksud polis perlu meneruskan usaha mengurangkan kadar jenayah dengan lebih berkesan. Pada masa yang sama, polis juga perlu mensasarkan jenayah ragut dan pecah rumah bagi menterjemahkan maksud perbezaan jaminan.

Usaha di atas dilaksanakan dengan berkesan melalui “penglibatan masyarakat” di bawah jabatan baharu JPJKK. Penglibatan berkenaan merupakan langkah yang dinamik dan memberi makna besar. Ianya melibatkan kepercayaan orang ramai dan menguruskan kepentingan awam. Bagi melancarkan penglibatan, kita perlu mempunyai kumpulan jaminan.

Terdapat dua kumpulan jaminan yang bekerjasama dalam mengekang jenayah. Satu daripadanya adalah kumpulan komuniti iaitu melibatkan penyewa, penduduk, persatuan penduduk, Rukun Tetangga Komuniti (RTK) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Kami juga bekerjasama dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Rakan Amanita, Komuniti Polis Malaysia (COP), Malaysia Menentang Jenayah Rogol, Serangan dan Ragut (MARAH), dan Safer Malaysia. COP diasaskan oleh Kuan Cher Heng dan MARAH oleh Dave Avran.

Kami mengalu-alukan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai misi mencegah jenayah. Sila ajukan cadangan anda kepada saya menerusi pautan emel yang disediakan.

Kumpulan lain yang terlibat adalah kumpulan agensi termasuk polis, majlis perbandaran tempatan, pendidikan tempatan dan sebagainya. JPJKK dan Amanita merupakan agensi utama yang menggerakkan usaha ini. Amanita merupakan inisiatif yang bertemakan “Penglibatan suri rumah dalam keselamatan kejiranan” dan pertubuhan itu diketuai oleh SAC Fatimah Abdul Hamid.

Apabila kumpulan jaminan bertemu, semestinya terdapat peluang untuk penglibatan, penyelesaian masalah dan maklum balas. Proses ini akan membina kepercayaan dan keyakinan orang awam dengan pihak polis dan pada masa yang sama mengurangkan risiko keselamatan dan kebimbangan jenayah.

Penglibatan masyarakat merupakan inisiatif untuk program “Kepolisan Komuniti”. Program itu merupakan satu langkah bagi meningkatkan hubungan antara polis dan masyarakat dalam sektor atau kawasan tertentu. Objektif utama adalah membaiki persepsi dan keselamatan orang awam. Sebagai tambahan, ia menjadikan tugas polis lebih responsif terhadap keperluan masyarakat.

Terdapat dua inisiatif lain membabitkan program berkenaan iaitu kehadiran anggota polis dan penyelesaian masalah dengan masyarakat. Kehadiran atau kewujudan anggota polis merupakan inisiatif awal yang dilaksanakan apabila memulakan NKRA Jenayah lima tahun lalu. Tujuannya adalah menempatkan lebih ramai anggota polis di kawasan jenayah tinggi atau hotspot. Kami berjaya mengurangkan kadar jenayah di lokasi-lokasi tersebut.

Seiring dengan itu, kami merancang untuk melaksanakan tiga inisiatif di peringkat Balai Polis. Tiga usaha berkenaan adalah kehadiran polis, penglibatan masyarakat dan penyelesaian masalah, dilaksanakan bagi menyokong antara satu sama lain dalam menjayakan program kepolisan komuniti.

Kami memulakan projek awal di peringkat Balai Polis empat bulan lalu. Kami memilih tiga Balai Polis sebagai projek awal iaitu di Brickfields bagi menangani jenayah jalanan, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) untuk menangani jenayah pecah rumah dan Trolak bagi menjayakan program penglibatan masyarakat. Saya akan menjelaskan tentang projek ini dalam artikel akan datang di bawah tajuk transformasi “Kepolisan Moden”.

Buat masa ini, fokus saya adalah berkongsi dengan anda tentang kepentingan mencegah jenayah sebagai pilihan yang lebih baik. Pertama, ia mampu mengurangkan jenayah daripada berlaku. Akhir sekali, ia membantu mengurangkan perbezaan jaminan seperti yang diterangkan di atas.

Rancangan kami adalah untuk membuka proses hulu terutamanya melibatkan komponen kawalan sosial dan perpaduan sosial. Kami memerlukan bantuan daripada masyarakat dan NGO. Dalam artikel terdahulu yang disiarkan dua minggu lalu, saya menulis artikel tentang “Adakah anda peduli apabila jenayah berlaku?”. Mungkin inilah masanya untuk semua pihak terlibat bagi mencegah jenayah daripada berlaku.


Datuk Dr Amin Khan adalah Pengarah Pengurangan Jenayah Pemandu NKRA. Beliau boleh dihubungi di [email protected]. Apa dinyatakan di sini pandangannya semata-mata. Pembaca juga boleh berkongsi pandangan di http://unitedagainstcrime.com.my.

NKRA, Pemandu

Artikel Lain