suria

Bolehkah Kita Percaya Pada Statistik Jenayah?

REKOD jenayah indeks menurun sebanyak 40 peratus sejak lima tahun lalu ekoran pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Adakah anda percaya pada rekod itu?

Artikel ini merupakan yang ketiga ditulis oleh saya berhubung isu jenayah. Pertama, saya membincangkan tentang perbezaan pandangan terhadap jenayah iaitu antara realiti dan persepsi.

Artikel kedua menjelaskan tentang kebimbangan terhadap jenayah boleh mewujudkan perasaan tidak selamat dan kemungkinan menjadi mangsa dalam pemikiran individu.

Artikel kali ini akan memfokuskan tentang statistik dan saya mengharapkan banyak pandangan dilontarkan oleh pembaca.

Jenayah merupakan kebimbangan utama orang awam dan masih belum ada kaedah yang sempurna untuk menggambarkan secara keseluruhan tentang jenayah.

Gambaran keseluruhan tentang jenayah diibaratkan seperti bongkah ais. (Rajah 1). Apa yang diketahui sebenarnya mungkin sama atau kurang daripada yang disembunyikan.

Secara hakikatnya, terhadap banyak perkara tentang jenayah yang mungkin kita masih belum tahu.

Terdapat dua cara mengukur jenayah:

- Statistik rasmi jenayah iaitu berdasarkan jumlah rekod kesalahan dan pesalah yang diproses oleh polis, mahkamah dan agensi penjara.

- Statistik tidak rasmi jenayah iaitu yang dikeluarkan oleh pihak di luar sistem keadilan jenayah.

Jenayah mengikut kefahaman umum disamakan sebagai tindakan yang melanggar kod jenayah. Kod jenayah pula membezakan perbezaan antara jenis jenayah.

Bagi merungkai setiap jenis jenayah secara spesifik melibatkan isu teknikal seperti contoh jenayah rogol di Los Angeles dan Boston yang akan diterangkan kemudian.

Walaupun jenayah besar dilakukan pada setiap hari, namun bukan semua kes dilaporkan oleh orang awam dan direkodkan oleh pihak polis.

Mangsa mungkin tidak melaporkan jenayah yang berlaku ke atasnya disebabkan pelbagai alasan. Mereka mungkin menganggap jenayah yang berlaku perlu dirahsiakan atau merupakan urusan peribadi. Malah mereka mungkin fikir jenayah itu bukan perkara penting atau bimbang terhadap sebarang tindak balas.

Tahun lalu, kami mengadakan tinjauan awam melibatkan sekumpulan besar subjek. Kami mendapati kira-kira 25 peratus jenayah yang dialami oleh orang awam tidak dilaporkan kepada polis. Situasi ini dikenali sebagai “jumlah gelap’.

“Jumlah gelap” merupakan satu daripada kritikan utama apabila kami menyiarkan jenayah indeks. Bagi mengetahui tentang “angka gelap”, kami boleh melakukan tinjauan yang sama seperti tahun lalu. Kami boleh mengetahui jumlah kes yang tidak dilaporkan tetapi kurang tepat dari segi jenayah tertentu.

Sebaliknya, kami mempunyai kategori kesalahan yang menyaksikan mangsa terpaksa membuat laporan kepada pihak polis. Sebagai contoh kesalahan tersebut adalah mangsa boleh mendapat pampasan daripada insurans akibat kereta dicuri, rumah dipecah masuk dan seumpamanya.

Kajian telah menunjukkan bahawa kes jenayah kecil paling banyak dalam “angka gelap”. Kebiasaannya jenayah yang lebih serius direkodkan oleh pihak berkuasa.

Satu kajian juga menunjukkan contoh “jumlah gelap” untuk kes kecurian kereta sebanyak tujuh peratus dan 70 peratus lagi kes serangan biasa. Kes kecurian pula mencapai jumlah sehingga 90 peratus.

Pemahaman terhadap cara ukuran boleh membantu memulihkan kepercayaan dalam kalangan orang ramai. Melalui kaedah ukuran jenayah, kita mesti mempunyai “perbezaan lepas” iaitu untuk membolehkan kita membuat perbandingan antara negara dan menerusi satu tempoh masa.

Dalam Rajah 2, anda boleh melihat statistik jenayah di Malaysia sejak 1980. Kaedah pengukuran jenayah sentiasa sama. Antara 1980 dan2009, kes jenayah secara keseluruhannya meningkat sebanyak 200 peratus atau lima peratus setiap tahun.

Namun angka itu memberi tugas sukar kepada polis kerana peningkatan jenayah sebanyak lima peratus pada setiap tahun dan kami mempunyai sasaran mengurangkan kadar jenayah sebanyak lima peratus setiap tahun. Situasi itu menyebabkan kami perlu mengurangkan jenayah sebanyak 10 peratus pada setiap tahun.

Jenayah indeks mengukur jenayah tradisional sebagai dua komponen iaitu jenayah kekerasan dan kecurian harta. Cara ukuran ini konsisten dengan amalan antarabangsa.

Jenayah kekerasan merupakan jenayah dilakukan terhadap orang lain. Jenayah harta pula tidak mempunyai ancaman secara langsung atau mencederakan orang lain.

Secara keseluruhannya terdapat 13 kategori jenayah berdasarkan jenayah indeks yang kami paparkan (Jadual 1).

Jenayah bukan indeks merupakan jenis jenayah yang lain melibatkan salah laku dan jenayah besar yang lain seperti penipuan, penyelewengan, perjudian, pemalsuan, pelacuran, penggunaan dadah dan seumpamanya.

Dalam mana-mana pengiraan, kita perlu mempunyai kebolehpercayaan dan kesahihan. Kebolehpercayaan merujuk kepada konsisten dan/atau kestabilan ukuran mengikut masa, seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1 dari 1980 hingga 2014.

Kesahihan pula melibatkan ketepatan pengiraan. Kami menggunakan rekod jenayah tanpa “angka gelap”.

Daripada sudut pandangan saintifik, pengiraan tersebut tidak tepat. Tetapi kami melaporkan jumlah yang diketahui (jenayah yang direkod) dan kami konsisten dengan angka tersebut.

Selain itu, pengiraan ini digunapakai di peringkat antarabangsa. Kita boleh mengaitkan rekod jenayah dengan tinjauan mangsa jenayah. Tetapi halangan yang boleh berlaku adalah kesilapan responden melaporkan beberapa kejadian yang tidak kritikal yang dianggap sebagai jenayah.

Tambahan pula, mungkin wujud kesilapan kecil terhadap laporan berhubung kekerapan kejadian jenayah.

Saya percaya perkara yang paling penting adalah keupayaan untuk mengukur aliran, corak jenayah dan mengambil tindakan bagi memastikan kadar jenayah berkurangan. Statistik yang ditunjukkan boleh dipercayai dan kita tidak perlu kaku dan berbahas tentang “angka gelap”.

Sebagai contoh, apabila kami memulakan program transformasi, satu daripada perkara yang diberikan tumpuan pada 2010 hingga 2012 adalah jenayah jalanan. Selepas mencapai keputusan yang baik, kami menumpukan pula pada kes jenayah pecah rumah.

Antara 2013 dan 2014, kami menetapkan sasaran spesifik bagi setiap tahun untuk mengurangkan kes pecah rumah sebanyak lima peratus setahun. Pada 2013, kami mencapai jumlah pengurangan sebanyak 6.5 peratus dan pada 2014 sebanyak 11.7 peratus.

Dalam laporan jenayah indeks, kes kecurian harta mencapai jumlah kira-kira 80 peratus secara keseluruhan indeks dan 20 peratus lagi merupakan jenayah kekerasan.

Jadual 2 menunjukkan peningkatan pada setiap tahun bagi tempoh setiap lima tahun sejak 1980. Jenayah kekerasan meningkat lebih pantas berbanding kecurian harta. Dalam kategori jenayah kekerasan, kebimbangan kami tertumpu pada peningkatan kes rompakan berkumpulan tanpa senjata dan rogol.

Berhubung dengan “angka gelap”, kita perlu mengetahui tentang kod jenayah. Kami merujuk kod jenayah bagi menentukan jenis kesalahan. Tugas ini bukan mudah memandangkan pelanggaran undang-undang lebih rumit kerana terdapat banyak undang-undang dalam sistem.

Perbezaan pendapat orang ramai mungkin mentafsirkan perkara itu secara berbeza dan kami melabelkan situasi ini sebagai isu “klasifikasi”.

Sebagai contoh, polis Los Angeles merekodkan sebarang percubaan atau serangan seksual yang telah berlaku sebagai kes rogol. Tetapi bagi polis Boston, kes serangan seksual hanya direkodkan sebagai kes rogol jika hubungan seks selesai dilakukan.

Jadi tidak hairanlah kadar kes rogol di Boston lebih rendah berbanding Los Angeles. Di Malaysia, kes penyeluk saku mungkin direkodkan sebagai tercicir, manakala kes pecah rumah sebagai menceroboh.

Jadi bolehkah kita percaya kepada statistik jenayah? Terdapat dua perkara yang dijelaskan pada penulisan saya kali ini iaitu ukuran dan klasifikasi jenayah. Ukuran adalah perkara yang boleh dipercayai dan kita boleh melihat aliran atau pergerakannya sepanjang masa.

Kesahihan pula statistik boleh dipertikai disebabkan kewujudan “angka gelap”. Mungkin sesetengah orang berasa ragu jika klasifikasi jenayah dilakukan dengan betul tetapi terdapat kesilapan secara rawat dan mungkin tidak begitu penting atau terlepas pandang.

Tiada kaedah yang sempurna boleh menunjukkan gambaran sebenar tentang jenayah. Melalui gambaran bongkah ais sebagai perumpamaan, jenayah yang direkodkan perlu dikurangkan.

“Angka gelap” hanya semakin meningkat jika terdapat perubahan struktur dalam sistem, sebagai contoh perubahan tahap jenayah, percampuran sosial dan seumpamanya.

Pada pandangan saya, apa jua kaedah yang digunakan sama ada jenayah indeks atau tinjauan terhadap mangsa, kita perlu jelas dengan tujuan dan pendekatan yang digunakan bagi mendapatkan maklumat dan data ini.

Peraturan emas seperti yang digunapakai dalam pengiraan adalah penggunaan “peraturan mendapatkan maklumat yang konsisten”.

Secara kesimpulannya, tidak banyak perkara perlu dibincangkan tentang statistik tetapi tindakan terhadap statistik tersebut merupakan perkara yang penting. Izinkan saya memetik kenyataan Harith Iskandar melalui laman sosial Facebook miliknya.

“Saya menghargai segala usaha PDRM dan saya menyedari tugas polis adalah sukar. Secara peribadi, saya mengenali ramai anggota polis di PDRM yang bekerja keras demi tugas mereka dan mengatasi kebimbangan rakyat. Sebagai rakyat Malaysia, kita SEMUA perlu memainkan peranan masing-masing bagi menjadikan negara ini sebagai tempat yang selamat. Mari kita sama-sama menangkap penjenayah sebenar yang mencederakan dan melakukan keganasan terhadap rakyat biasa Malaysia.”

> Datuk Dr. Amin Khan merupakan Pengarah Pemandu NKRA Membanteras Indeks Jenayah. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]. Artikel ini merupakan pandangan beliau.

Satu video ringkas tentang pandangan terhadap jenayah boleh ditonton melalui pautan ini, https://www.youtube.com/c/gtproadmap/.

NKRA, GTP, rogol, jenayah, Dr Amin Khan

Artikel Sebelum

Artikel Lain