suria

Pemuda Umno Pasir Gudang, BNYV Tawar Khidmat Nasihat Guaman Percuma

PETALING JAYA: Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang dengan kerjasama Sukarelawan Muda Barisan Nasional (BNYV) menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada orang ramai bagi membantu menyelesaikan masalah masyarakat berhubung hak dan tuntutan berkaitan undang-undang.

Program yang dinamakan Khidmat Nasihat Guaman itu akan diadakan di Pasar Raya Besar Mydin, Taman Rinting, Masai, Johor pada 25 April ini dari pukul 10.30 pagi sehingga 3 petang. 

Pengarah Program, Noor Azleen Ambros berkata, program tersebut bertujuan untuk membantu menjawab segala persoalan berkaitan dengan hak, tuntutan dan tindakan undang-undang, di samping memudahkan menyelesaikan masalah berkaitan.

“Kebanyakan masyarakat kita hari ini bila disebut tentang peguam atau undang-undang, mereka mempunyai sentimen untuk berhadapan dengan keadaan itu.

“Justeru, program ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mendekati peguam untuk membantu dan mempermudahkan urusan serta masalah yang dihadapi masyarakat,” katanya yang juga Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang.

Noor Azleen Ambros.

Noor Azleen berkata, program secara percuma kepada orang ramai ini membabitkan khidmat nasihat mengenai kepenggunaan, kemalangan, hartanah, tindakan sivil dan syariah, jenayah serta khidmat membuat wasiat.

"Tindakan sivil mengenai mereka yang mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap sesuatu perkara yang mahu dituntut atau tidak puas hati, tindakan syariah ia melibatkan nafkah, cerai dan rujuk, hartanah untuk prosedur urusan jual, beli dan lelong.

"Kemalangan pula merujuk kepada hak dan tuntutan sebagai seorang pekerja sekiranya berlaku kemalangan seperti tuntutan pampasan seperti daripada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

“Khidmat nasihat guaman berkaitan jenayah adalah untuk mereka yang berhadapan dengan kes berkenaan dan wasiat pula sekiranya mempunyai harta dan perlu menamakan waris,” katanya.

Sesi khidmat nasihat guaman pada program yang diadakan di Johor Bahru.

Tambah Noor Azleen, pihaknya turut menyediakan khidmat nasihat guaman berkaitan hal kebankrakapan, sama ada yang berhadapan dengan masalah itu mahupun mendapatkan penjelasan mengenainya dari aspek penghutang dan penjamin.

“Ramai yang takut terutama orang muda bila menyebut tentang kebankrapan. Tetapi sebenarnya ada jalan penyelesaian untuk keluar daripada masalah itu,” katanya.

Beliau berkata, seramai 15 peguam yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pelbagai bidang akan memberikan khidmat nasihat secara profesional.

Menurut Noor Azleen, program khidmat nasihat guaman ini adalah penganjuran kedua selepas mendapat sambutan ketika mengadakannya pertama kali di Johor Bahru, Mac lalu.

“Alhamdulillah, sambutan program di Johor Bahru amat menggalakkan. Sekurang-kurangnya kita dapat membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran, Noor Azleen berkata, beliau menjangkakan lebih banyak penyertaan golongan muda walaupun program tersebut diadakan secara terbuka.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyediakan dokumen sokongan berkaitan sewaktu hadir untuk mendapatkan khidmat nasihat guaman Sabtu ini. 

Artikel Lain