SEORANG lelaki menembak mati isterinya sebelum dipercayai membunuh diri di kediaman mereka di Palm Coast, Florida, Amerika Syarikat.Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Rabu sekitar pukul 10.15 malam. Pejabat Sheriff Flagler County memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.18 malam sebelum anggota tiba di lokasi dalam tempoh kurang lima minit.Mangsa, Dawn Estrella, 47, ditemukan di dalam bilik tidur dengan beberapa kesan tembakan dan disahkan meninggal dunia di lokasi pada pukul 10.43 malam.Suaminya, Rakim Shaker Cole Lee Abdullah Brooks, 55, yang turut dikenali sebagai David Brooks, ditemukan maut di garaj dengan kesan tembakan di kepala yang dipercayai dilakukan sendiri.Menurut Sheriff Rick Staly, penyiasat menemukan nota di dalam kereta suspek yang menunjukkan lelaki itu dipercayai merancang untuk membunuh isterinya.Difahamkan, semasa kejadian berlaku, anak perempuan mangsa yang berusia 19 tahun dan ibunya, 68, turut berada di rumah tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan. Anak mangsa memberitahu penyiasat bahawa dia terdengar pasangan itu bertengkar sebelum beberapa das tembakan dilepaskan.Berdasarkan laporan, pasangan tersebut sudah bersama selama kira-kira sembilan tahun dan berkahwin pada Mac 2024, namun sedang dalam proses berpisah serta tinggal di bilik tidur berasingan.Malah pihak sheriff menerima 14 panggilan dari kediaman itu sejak 2021, termasuk berhubung pertelingkahan pasangan berkenaan. Suspek juga mempunyai rekod jenayah termasuk lapan sabitan jenayah berat sehingga menyebabkan dia dilarang memiliki senjata api secara sah. -Agensi