Perbuatan menggugurkan kandungan secara haram tanpa sebab yang tertentu adalah satu kesalahan bagi sesetengah negara. -Gambar hiasan
SEORANG wanita berusia 21 tahun mengaku membeli ubat secara dalam talian untuk menggugurkan kandungan, selepas polis menemui mayat bayi dalam peti sejuk bilik hotel yang dihuninya, pada Rabu.Wanita yang dikenali sebagai Katesara itu pada awalnya menghubungi Balai Polis Hua Mark dan mendakwa dirinya mengalami keguguran ketika berada di sebuah hotel di Soi Ramkhamhaeng 40, daerah Bang Kapi, Bangkok. Menurut laporan Workpoint News, Katesara memberitahu polis bahawa dia mula mengalami sakit perut kira-kira pukul 3 pagi pada 27 September.Sekitar pukul 6 pagi, dia masuk ke tandas kerana menyangka mahu membuang air besar sebelum melahirkan seorang bayi secara mengejut.Dia mendakwa bayi berkenaan meninggal dunia ketika proses kelahiran dan kemudian menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan serta menjalankan siasatan.Bagaimanapun, ketika melakukan pemeriksaan di bilik tersebut, polis menemui mayat bayi lelaki yang dianggarkan hampir cukup bulan.Mayat bayi itu dibungkus di dalam beg sampah yang diletakkan di ruang sejuk beku peti ais bilik berkenaan, bukannya di dalam tandas seperti yang didakwa pada awalnya.Pemeriksaan lanjut turut menemukan bungkusan kosong ubat yang dikenali sebagai Medabon di dalam sebuah laci, yang dikenal pasti sebagai ubat untuk menggugurkan kandungan. Susulan penemuan itu, polis menjalankan soal siasat lanjut terhadap Katesara.Dia akhirnya mengaku memesan ubat berkenaan menerusi aplikasi media sosial dengan tujuan untuk menggugurkan kandungannya sendiri.Katesara mendakwa dia hanya mengetahui dirinya hamil pada Ogos lalu sebelum membuat pesanan ubat tersebut secara dalam talian.Menurutnya, dia mengambil satu pil pada 5 September, diikuti empat pil lagi pada 27 September.Menurut polis, bedah siasat dijalankan bagi menentukan keadaan serta punca sebenar kematian bayi tersebut.Siasatan masih dijalankan dan pihak polis setakat ini belum mengumumkan sama ada wanita berkenaan akan didakwa.Di Thailand, pengguguran dibenarkan atas permintaan wanita hamil dalam tempoh 12 minggu pertama kehamilan.Undang-undang Thailand turut membenarkan pengguguran dalam keadaan tertentu, termasuk jika kehamilan memberi risiko kepada kesihatan fizikal atau mental wanita, janin mengalami kelainan serius atau kehamilan berlaku akibat kesalahan seksual.