AKIBAT terpedaya dengan rayuan wanita yang mengaku hamil, seorang lelaki berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah 2.28 juta yen (kira-kira RM59,200) 'lesap' selepas diperdaya dengan taktik rawatan hospital.Suspek berusia 31 tahun, Kaho Miyamoto ditahan polis di Nagoya, Jepun kerana dipercayai memperdaya serta melakukan penipuan terhadap mangsa yang berumur 54 tahun.Menurut polis, antara penghujung 2024 hingga awal 2025, Miyamoto menghantar mesej menerusi media sosial kepada mangsa dengan mendakwa dia mungkin hamil. Dia turut mendakwa memerlukan wang untuk kemasukan ke hospital dan rawatan masalah rahim.Mangsa yang tinggal di Tokai, wilayah Aichi, menyerahkan wang secara bersemuka selain memasukkannya ke dalam peti surat di rumah wanita tersebut.Bagaimanapun, Miyamoto menafikan sebahagian dakwaan terhadapnya, sambil mengakui ada berbohong untuk mendapatkan wang."Dakwaan bahawa saya mungkin hamil itu benar. Saya memang selitkan beberapa pembohongan untuk mendapatkan wang," katanya. -Agensi