SEORANG guru bahasa dan kesusasteraan maut selepas ditembak secara jarak dekat oleh anak saudaranya sendiri di pekarangan sebuah sekolah menengah pada Isnin.Mangsa, Mehmet Bilgili yang mengajar di Sekolah Menengah Farabi Anatolian di Osmaniye, Turkiye, mengalami kecederaan parah sebelum meninggal dunia di hospital. Berdasarkan laporan, suspek berusia 41 tahun itu dipercayai memasuki kawasan sekolah di perkampungan Çardak sebelum melepaskan tembakan ke arah mangsa yang ketika itu berada berhampiran pondok rehat.Gabenor Osmaniye, Mehmet Fatih Serdengeçti berkata, mangsa dan suspek dipercayai mempunyai perselisihan sejak kebelakangan ini.Lebih menyayat hati, mangsa dilaporkan membesarkan anak saudaranya itu sejak kecil dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri.Namun suspek dipercayai menjalani rawatan psikiatri selama bertahun-tahun."Dia menyasarkan bapa saudaranya di pekarangan sekolah. Ini bukan serangan terhadap murid atau institusi pendidikan," katanya.Tambah beliau, suspek berjaya ditahan dua petugas keselamatan yang berada di sekolah terbabit dan merampas sepucuk pistol tanpa lesen yang dipercayai digunakan dalam serangan berkenaan.