HASRAT seorang wanita untuk pulang menjenguk ibu bapanya bertukar menjadi tragedi berdarah apabila dia maut dipukul secara kejam oleh suaminya menggunakan batu penggiling.Kejadian menyayat hati di kediaman mereka di Hyderabad, India pada Ahad lalu itu meragut nyawa mangsa, Teja Sri, 26, akibat kecederaan parah pada bahagian kepala. Menurut laporan portal tempatan Andhra Jyothy, pertengkaran bermula selepas mangsa memberitahu suaminya, Narender bahawa dia mahu pulang ke rumah keluarganya.Berang dengan tindakan isterinya, suspek yang bekerja sebagai akauntan didakwa hilang kawalan lalu memukul kepala isterinya sehingga maut.Apa yang mengejutkan, selepas tragedi itu, suspek tampil menyerah diri di Balai Polis Chikkadpally.Susulan itu, kertas siasatan dibuka berhubung kes pembunuhan.Untuk rekod, pasangan berkenaan dilaporkan berkahwin pada 2020 dan mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun. -Agensi