SEORANG wanita maut selepas didakwa diserang menggunakan alat renjatan elektrik sebelum ditikam berulang kali oleh anak tirinya di rumah mereka.Tragedi berdarah itu dilaporkan berlaku di Bandung, Indonesia, pada pukul 5.47 petang Ahad. Ketua Polis Panyileukan, AKP Anang Sunarya berkata, kejadian berlaku apabila suspek yang dikenali sebagai Dean Haziq, 31, dipercayai turun ke tingkat bawah rumah sambil membawa pisau dapur dan alat renjatan elektrik sebelum menghampiri ibu tirinya, Apriyanti, 53.Menurutnya, suspek didakwa menggunakan alat itu untuk melumpuhkan mangsa sebelum bertindak menikamnya pada bahagian leher dan badan.Tambah beliau, susulan tindakan agresif suspek, mangsa mengalami beberapa luka, termasuk di leher, perut, pelipis kanan dan mata kanan.Jeritan dan kekecohan di kediaman berkenaan menyebabkan penduduk setempat bergegas menerjah ke rumah tersebut sebelum bertindak menahan suspek.Mangsa yang mengalami kecederaan parah sempat dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan.Mengulas lanjut, Anang berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai sudah lama menyimpan dendam terhadap mangsa kerana mendakwa dia jarang diberi makan.Tambahnya, polis turut menyiasat dakwaan bahawa suspek berhasrat memiliki rumah yang didiami bersama mangsa dan bapanya. "Kedua-dua perkara itu masih merupakan dakwaan motif yang sedang disiasat," jelasnya. -Agensi