KEPULAN asap hitam tebal dilihat menjulang berhampiran lapangan terbang utama Riyadh di Arab Saudi pada Sabtu ketika negara itu meningkatkan kewaspadaan susulan ancaman serangan kumpulan Houthi dari Yaman.Asap tebal itu muncul selepas bunyi letupan kedengaran dan amaran keselamatan dihantar kepada penduduk sekitar ibu negara berkenaan. Rakaman video dan gambar Reuters menunjukkan kepulan asap hitam di kawasan berkenaan, dengan lebuh raya menuju ke lapangan terbang, bangunan terminal utama dan beberapa kemudahan lain kelihatan di hadapan.Bagaimanapun, pejabat media kerajaan Arab Saudi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung punca kejadian berkenaan.Beberapa amaran keselamatan pernah dikeluarkan di Riyadh sejak perang Amerika Syarikat (AS)-Iran bermula, namun amaran terbaharu itu merupakan yang pertama sejak serangan kumpulan Houthi dari Yaman semakin memuncak pada Julai lalu.Kumpulan Houthi yang menguasai kawasan paling padat penduduk di Yaman serta sebahagian besar wilayah utara negara itu melancarkan serangan ke arah Arab Saudi selepas mengisytiharkan sekatan laut terhadap Riyadh pada bulan sama.ARTIKEL BERKAITAN: Buat pertama kali Makkah, Jeddah dan Taif di bawah amaran potensi bahaya... Orang ramai dilarang berkumpul, rakam video!Serangan berkenaan turut menyasarkan kapal-kapal Arab Saudi di Laut Merah, sekali gus mencetuskan ancaman baharu terhadap bekalan minyak global.Situasi itu turut mengancam laluan alternatif utama eksport minyak negara-negara Teluk menerusi Laut Merah ketika trafik perkapalan di Selat Hormuz masih disekat.Pada Jumaat, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, mendakwa kumpulan itu berjaya menggagalkan beberapa 'cubaan jenayah' yang tidak diperincikan di ibu negara Yaman, Sanaa.Beliau turut menyalahkan Arab Saudi atas kejadian itu dan memberi amaran tindakan balas akan menyusul.Kumpulan yang mempunyai hubungan dengan Iran itu, yang merampas seluruh pesisir Laut Merah Yaman dalam serangan pantas bulan ini, mendakwa Tentera Udara Arab Saudi melancarkan ratusan serangan udara terhadap mereka sejak beberapa hari lalu.Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan Houthi terhadap Arab Saudi.Ini termasuk serangan yang menjejaskan infrastruktur awam dan tenaga sehingga mencederakan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.Majlis itu turut mengecam peningkatan kegiatan ketenteraan Houthi di Yaman. -The Star