KELUARGA seorang wanita autistik mendesak polis mengambil tindakan terhadap seorang pegawai tempatan yang didakwa berulang kali merogol mangsa sejak kecil sehingga hamil ketika berusia 15 tahun.Ibu dan nenek mangsa membawa mangsa yang kini berusia 20 tahun ke balai polis tempatan di Thailand pada Jumaat bagi membuat susulan kes berkenaan dengan mengemukakan bukti perubatan. Mangsa berasal dari Uthai Thani, Thailand dan mendakwa menjadi mangsa rogol lelaki terbabit yang ketika itu merupakan ketua kampung serta tinggal berjiran dengan keluarganya.Menurut keluarga, kejadian bermula ketika mangsa masih di sekolah rendah selepas lelaki itu diupah untuk menghantar dan mengambilnya dari sekolah.Lelaki berkenaan didakwa mengambil kesempatan dengan merogol mangsa di beberapa lokasi, termasuk kebun ubi kayu dan kawasan sekolah.Keluarga turut mendakwa lelaki itu pernah mengaku melakukan perbuatan berkenaan kepada nenek mangsa ketika mabuk, selain membeli pil perancang.Selepas mangsa hamil, keluarga mendakwa mereka menerima ugutan daripada lelaki terbabit yang dikatakan memiliki senjata api dan mempunyai pengaruh di kawasan berkenaan.Ibu mangsa berkata, keluarga pada awalnya cuba menyelesaikan perkara itu secara baik, namun kini tidak lagi mahu menerima sebarang pampasan.Lelaki itu yang kemudiannya dilantik sebagai timbalan ketua organisasi pentadbiran daerah kecil turut didakwa kembali mengganggu dan merogolnya selepas wanita itu pulang ke Uthai Thani.Keluarga kini mendesak polis meneruskan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang, manakala mangsa dibawa kembali ke Bangkok untuk berada di bawah penjagaan ibunya demi keselamatan. -Agensi