INGATKAN sekadar gurauan, seorang pelajar berusia 16 tahun rupa-rupanya benar-benar melaksanakan rancangan untuk melepaskan tembakan di sebuah sekolah di selatan Filipina. Dalam kejadian pada Jumaat, remaja lelaki itu menembak mati sekurang-kurangnya dua pelajar serta mencederakan lapan yang lain sebelum membunuh diri. Datuk Bandar Banga, Albert Palencia berkata, empat daripada mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.Kesemua mangsa merupakan pelajar berusia antara 14 hingga 17 tahun. Menurut Palencia, suspek sempat duduk bersama rakan-rakannya dan menyuruh mereka pulang kerana mahu ‘melaksanakan rancangan’ selepas waktu makan tengah hari. "Rakan-rakannya ketawa kerana suspek memang dikenali sebagai seorang yang suka bergurau."Selepas makan tengah hari, dia mula melepaskan tembakan ke arah pelajar. Dia menembak 10 orang sebelum membunuh diri," katanya.Suspek dipercayai keluar dari kelasnya sebelum melepaskan tembakan secara rambang ke arah pelajar di sebuah kelas bersebelahan.Siasatan awal mendapati dia menggunakan pistol 9 milimeter milik bapanya yang bekerja dengan Jabatan Pendidikan.Remaja terbabit dipercayai memecah peti simpanan di rumah bagi mengambil senjata tersebut sebelum membawanya ke sekolah.Dia turut membawa dua kelopak peluru dan sempat mengisi semula senjata selepas menghabiskan kelongsong pertama.Dalam pada itu, Palencia menyifatkan suspek sebagai seorang pelajar pintar dan aktif dalam sukan taekwondo, selain tiada petunjuk menunjukkan dia pernah menjadi mangsa buli.Susulan itu, pihak berkuasa turut menyiasat sekiranya terdapat kemungkinan pengaruh komuniti dalam talian terhadap tindakannya.Untuk rekod, insiden tersebut merupakan kejadian tembakan maut ketiga membabitkan sekolah di Filipina sejak Jun, sedangkan kes sedemikian sebelum ini jarang berlaku di negara berkenaan.Susulan tragedi itu, Gabenor South Cotabato, Reynaldo Tamayo menggesa pemilik senjata api supaya menyimpannya dengan selamat dan memastikan ia tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak atau remaja. -Agensi