GARA-GARA berkahwin dengan lelaki pilihan hati tanpa restu keluarga, seorang wanita berusia 21 tahun dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya.Lebih mengejutkan apabila cubaan penculikan itu berakhir dengan kemalangan melibatkan beberapa buah kenderaan. Kejadian yang berlaku di Bengaluru, India pada malam Rabu itu turut menyebabkan enam individu termasuk dua kanak-kanak cedera.Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Bengaluru Barat, Yathish N, mangsa yang dikenali sebagai Pooja telah meninggalkan kampung halamannya di Melwas, Rajasthan bersama kekasihnya, Om Prakash, 23, kira-kira lapan bulan lalu.Pasangan berkenaan kemudian berkahwin dan memulakan kehidupan baharu di Agrahara Dasarahalli, Bengaluru meskipun hubungan mereka ditentang keluarga.Bagaimanapun kira-kira pukul 8 malam kejadian, empat lelaki dipercayai dihantar dari Rajasthan didakwa menyerbu kediaman pasangan terbabit."Kami menerima panggilan daripada suami mangsa selepas suspek didakwa membawanya keluar dari kediaman mereka."Kereta berkenaan merempuh beberapa kenderaan kira-kira dua kilometer dari rumah pasangan tersebut. Penduduk setempat turut cuba memberhentikan kereta itu selepas kemalangan," katanya.Tambah beliau, enam mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai Prithviraj, 12, Yashika, 9, Amul, 35, Mani, 64, Jayalakshmi, 57, dan Santosh, 33.Polis mengenal pasti tiga suspek yang ditahan sebagai Rakesh, 31, Karan, 25, dan Ayan, 18, manakala pemandu dikenali sebagai Saddam masih diburu.Pihak berkuasa turut merampas kenderaan bernombor pendaftaran Rajasthan dan sebilah parang serta sedang menyiasat kemungkinan terdapat individu lain yang terlibat. -Agensi