suria

“Saya tak malu” - Remaja 15 tahun kutip botol bantu bapa lumpuh, raih RM12 seminggu tampung persekolahan

Seorang gadis membantu ibunya mencari pendapatan tambahan selepas bapanya lumpuh. - Gambar Facebook We Love Isan

SEORANG remaja perempuan meraih perhatian ramai apabila kisahnya mengutip botol plastik untuk menyara keluarga dan membiayai persekolahan menjadi tular.

Benyapha Thanakornmonporn, 15, dari Nonthaburi, Thailand dilaporkan berdepan kehidupan sukar apabila bapanya terlantar sejak 16 tahun lalu akibat kemalangan serius.

Ibunya pula menjadi satu-satunya pencari nafkah dengan bekerja sebagai pencuci rumah harian dan memperoleh sekitar 380 baht (kira-kira RM46) sehari.

Selepas pulang dari sekolah, Benyapha akan membantu menguruskan bapanya termasuk menukar lampin dan membersihkan beg urin sebelum keluar mengutip botol plastik di tong sampah serta tepi jalan untuk dijual.

Walaupun hasilnya kurang daripada 100 baht (RM12) seminggu, remaja itu tetap cekal dan tidak berasa malu dengan usahanya.

“Saya tidak malu di hadapan kawan-kawan atau sesiapa, sebab ayah saya sakit dan saya perlu membantu keluarga,” katanya.

Di sebalik kesukaran hidup, Benyapha masih cemerlang dalam pelajaran apabila berada di tempat ketiga dalam kelas dengan purata nilai gred (GPA) 3.75.

Namun, keluarganya kini berdepan kekangan kewangan untuk menampung yuran persekolahan apabila dia bakal masuk ke tingkatan empat.

Kisahnya yang menyentuh hati itu mendorong sebuah laman Facebook tempatan melancarkan kutipan dana bagi membantu meringankan beban keluarga remaja berkenaan. -Agensi

Artikel Lain