suria

Pakcik kantin liwat, bunuh budak lelaki umur 5 tahun! Guru besar pun subahat, buat laporan kes kemalangan

Polis menahan suspek selepas memperoleh laporan bedah siasat.

PERBUATAN kejam seorang penjaga kantin di sekolah berasrama penuh terbongkar selepas polis mengesahkan kanak-kanak lelaki yang maut pada 6 April lalu didera secara seksual.

Lebih menambah rasa pilu apabila guru besar sekolah tersebut didakwa bersubahat dengan cuba menyembunyikan kejadian yang berlaku.

Kejadian menyayat hati itu dilaporkan terjadi di sebuah sekolah di Bihar, India melibatkan pelajar pra-sekolah (UKG) berusia lima tahun.

Menurut Penguasa Polis Jehanabad, Aprajit Lohan, suspek dikenali sebagai Mukesh Kumar@Sudama, 46, ditahan pada Jumaat selepas laporan bedah siasat mengesahkan mangsa dicabuli sebelum dibunuh.

"Sehari sebelum penangkapan suspek, guru besar sekolah tersebut ditahan kerana didakwa cuba menyembunyikan kejadian itu dengan melaporkannya sebagai satu kemalangan," jelasnya.

Berdasarkan laporan, suspek ketika itu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol sebelum menyerang mangsa secara seksual.

"Suspek kemudiannya membunuh mangsa menggunakan senjata tajam bagi melenyapkan bukti.

"Perbuatannya itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian.

"Menerusi rakaman yang diperoleh, suspek dilihat berkelakuan mencurigakan di dalam asrama pada waktu malam selepas lampu dipadamkan," tambahnya.

Bukan itu sahaja, polis turut menemukan sebilah senjata tajam di tingkap tandas serta tompokan kesan darah di beberapa lokasi termasuk kawasan dapur.

Menurut polis daripada hasil soal siasat, suspek mendakwa tindakannya berpunca daripada tekanan mental yang dialami berikutan masalah rumah tangga dengan isterinya.

Malah kata Aprajit, suspek turut mendakwa tingkah lakunya didorong oleh perasaan marah akibat diejek oleh murid-murid di sekolah berkenaan.

Susulan itu, kes kini disiasat di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO) dan peruntukan undang-undang berkaitan pembunuhan serta serangan seksual.

Untuk rekod, kanak-kanak malang itu baru sahaja mendaftar masuk ke asrama berkenaan pada 1 April lalu bersama adik-beradiknya yang lain. -Agensi

Artikel Lain