suria

Lelaki hilang nyawa dirodok pisau, kantoi bercumbu dengan kekasih orang

Hukuman berat menanti pesalah jenayah bunuh. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki maut akibat ditikam dengan pisau selepas mencium kekasih gelapnya pada malam Khamis.

Mangsa berusia 33 tahun, dilaporkan keluar bersama wanita itu sebelum tindakan mereka dikesan oleh teman lelakinya. 

Suspek, 32, dipercayai melihat teman wanitanya menunggang motosikal bersama mangsa sebelum mengekori mereka hingga ke kawasan kejadian.

Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Pasarwajo, Buton di Indonesia.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Buton, AKP Sunarton Hafala berkata, keadaan bertukar tegang apabila suspek didakwa melihat pasangan itu berada di sebuah pondok dalam keadaan intim.

“Suspek melihat mereka bercium di pondok berkenaan sebelum bertindak di luar kawalan,” katanya pada Jumaat.

Difahamkan, suspek kemudian mengeluarkan pisau sebelum menikam mangsa beberapa kali hingga parah.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius.

Selepas kejadian, suspek melarikan diri sebelum menyerah diri kepada pihak polis dan kini ditahan untuk siasatan lanjut. -Agensi

Artikel Lain