suria

Peguam ditembak ketika rutin jalan kaki awal pagi... Suspek hampir tak boleh lari, enjin motosikal tiba-tiba ‘mati’

Suspek cuba melarikan diri selepas melepaskan tembakan terhadap mangsa.

SEORANG peguam maut ditembak di kawasan Katwaru Ka Pura, Uttar Pradesh di India pada awal pagi, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan penduduk setempat.

Mangsa yang dikenali sebagai Rajeev Singh diserang ketika sedang melakukan rutin berjalan kaki pada waktu pagi.

Berdasarkan laporan, seorang suspek yang menunggang motosikal bersama rakannya menghampiri mangsa sebelum turun daripada kenderaan lalu melepaskan tembakan dari jarak dekat menggunakan senjata api buatan sendiri. 

Mangsa yang rebah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dilihat menunggu seketika sebelum melepaskan tembakan, manakala seorang lagi kekal berada di atas motosikal.

Selepas serangan itu, suspek dilihat bergegas kembali ke motosikal namun kenderaan tersebut gagal dihidupkan beberapa saat, menyebabkan cubaan melarikan diri 'tergendala'.

Penduduk yang mula berkumpul di lokasi kejadian cuba menangkap suspek, namun mereka dihalang apabila pelaku mengugut dengan senjata api sebelum akhirnya berjaya melarikan diri selepas motosikal dapat dihidupkan.

Pembunuhan pada waktu siang itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan komuniti perundangan tempatan selain menimbulkan kebimbangan keselamatan awam.

Siasatan lanjut kini dijalankan dan usaha mengenal pasti suspek sedang giat dijalankan berdasarkan rakaman CCTV yang diperoleh. -Agensi

Artikel Lain