SEORANG pemandu trak yang disangka sedang berehat di dalam kenderaan rupa-rupanya ditemui sudah tidak bernyawa.Mayat mangsa berusia 31 tahun ditemukan orang ramai selepas curiga dengan kehadiran trak tersebut di tepi jalan dengan lampu kecemasan masih menyala. Kejadian dilaporkan berlaku di Tigaras, Kabupaten, Simalungun, Sumatera Utara, Indonesia.Ketua Polis Dolok Pardamean, AKP Restuadi berkata, saksi memberitahu pada awalnya menyangka mangsa sedang tidur selepas melihat mangsa terbaring di tempat duduk dengan kepalanya menghadap pintu kiri sambil menggunakan bantal."Saksi bagaimanapun pada awalnya tidak mengesyaki apa-apa sebaliknya menyangka mangsa hanya sedang tidur," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Bagaimanapun pada sebelah petang, pihak polis menerima laporan daripada ketua kampung mengenai seorang lelaki yang ditemukan sudah meninggal dunia di dalam trak.Susulan itu, mangsa dibawa ke pusat kesihatan komuniti bagi pemeriksaan lanjut sebelum disahkan sudah meninggal dunia.Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan keluarga menolak bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.Sementara itu, siasatan mendapati sehari sebelum kejadian mangsa memandu trak membawa muatan makanan ikan dari Medan sebelum tiba di tempat tinggalnya sekitar pukul 12 tengah hari.Keesokan paginya sekitar pukul 6 pagi, mangsa dipercayai bertolak semula ke lokasi pemunggahan di kawasan Pamatang Sidamanik sebelum dia ditemukan sudah tidak bernyawa.Menurut Restuadi, kematian mangsa mungkin ada kaitan dengan masalah angina pectoris berdasarkan maklumat keluarga yang memaklumkan mangsa sering mengadu sakit perut sebelum ini. -Agensi