suria

Lelaki tergamak kerat badan kekasih, tapi tak mengaku jadi punca mangsa meninggal dunia

Suspek didakwa mengerat badan mangsa sebelum membuangnya.

 

SEORANG lelaki warga Laos bertindak mengerat tubuh teman wanitanya selepas beberapa bahagian badan mayat mangsa ditemukan pihak berkuasa Selasa lalu. 

Penemuan itu dibuat pihak berkuasa wilayah Nonthaburi, Thailand selepas polis menerima laporan mengenai penemuan anggota badan manusia di sebuah terusan bekalan air.

Polis menemukan kepala mangsa di dalam beg sampah hitam dan dibalut dengan sehelai tuala sebelum dibuang ke dalam air.

Operasi itu turut menemukan beberapa lagi bahagian tubuh mangsa dalam beg berasingan yang tidak jauh dari kawasan sama.

Susulan itu, polis menahan teman lelaki mangsa berusia 26 tahun dikenali sebagai Tom ketika cuba melarikan diri ke Laos.

Ketika disoal siasat, Tom mengaku mengerat mayat mangsa kepada beberapa bahagian, memasukkannya ke dalam lapan beg sampah sebelum membuangnya di Nonthaburi.

Dakwa suspek, dia tidak membunuh mangsa sebaliknya wanita itu mengambil nyawanya sendiri dengan menikam dirinya menggunakan pisau.

Perkara itu berlaku selepas berlaku pertengkaran di antara mereka akibat cemburu dengan pekerjaan teman wanitanya sebagai penghibur di sebuah pusat hiburan di Pattaya.

Dia mengaku memaksa mangsa pulang ke kediaman mereka di Bangkok sebelum wanita itu kononnya menikam dirinya sendiri ketika pertengkaran berlaku.

Bagaimanapun, beberapa kenyataan suspek didakwa bercanggah dengan keterangan abang mangsa, Date, yang percaya adiknya dibunuh.

Date memaklumkan pasangan itu menjalinkan hubungan selama kira-kira tiga tahun dan bekerja di hospital sama, dengan mangsa berniaga makanan manakala suspek bertugas sebagai tukang masak.

Dia turut mendakwa adiknya pernah beberapa kali menjadi mangsa penderaan oleh suspek yang disifatkan sebagai seorang yang terlalu cemburu. -Agensi

Artikel Lain