suria

Setia hingga hujung nyawa... Warga emas 82 tahun ulang-alik 12 jam setiap hari demi ziarah isteri di ICU

Chen mencium tangan isterinya ketika wanita itu terbaring di katil hospital. -Foto CCTV

PENGORBANAN seorang warga emas yang menghabiskan 12 jam sehari selama 105 hari demi melawat isterinya di hospital menyentuh hati ramai.

Chen Achong, 82, seorang petani dari Zhoushan, Zhejiang, China, telah berkahwin dengan isterinya, Xue, selama tempoh lebih 50 tahun.

Setiap hari, Chen berulang-alik ke Ningbo, Zhejiang untuk melawat isterinya yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Li Huili selepas diserang strok dan mengalami radang paru-paru.

Disebabkan anak mereka tidak dapat menjaga si ibu, Chen mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan bangun seawal pukul 4.30 pagi untuk menyediakan makanan sebelum menaiki bas ke hospital.

Walaupun masa lawatan hanya 30 minit, dia tetap menunggu di koridor hospital sebelum pulang.

Selama 105 hari, dia menempuh perjalanan 12 jam sehari hanya untuk bersama isterinya, malah membelanjakan lebih 100,000 yuan (RM57,206) bagi kos rawatan.

Anak mereka turut menjual rumah bagi menampung kos perubatan Xue yang semakin meningkat sehingga terpaksa berhutang. 

Chen berhasrat melunaskan semula hutang tersebut selepas menerima sumbangan lebih 140,000 yuan (RM80,089) daripada orang ramai.

Pada 13 Mac, keadaan Xue dilaporkan stabil.

Namun ketika sedang bersiap untuk pulang ke Zhoushan, Chen menerima panggilan daripada pihak hospital yang memaklumkan bahawa degupan jantung isterinya terhenti.

Dia bersama anak lelakinya segera bergegas kembali ke hospital, namun segala usaha untuk menyelamatkannya gagal dan Xue menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun.

Pada saat-saat akhir itu, Chen menggenggam tangan isterinya erat sambil membisikkan ucapan perpisahan terakhir.

“Hubungan kita di dunia ini sudah berakhir, tetapi saya tidak rela menerimanya,” katanya. -Agensi

Artikel Lain