suria

Kes kematian tentera Korea Selatan cetus perdebatan, mahkamah tolak iktiraf jasa mendiang pada negara

Mahkamah menolak permohonan dibuat keluarga mendiang.

KEMATIAN seorang anggota tentera udara wanita Korea Selatan terus mencetuskan kontroversi susulan mahkamah menolak permohonan keluarganya untuk mengiktiraf mendiang sebagai individu berjasa kepada negara.

Media tempatan melaporkan, Mahkamah Daerah Uijeongbu menolak permohonan difailkan mendiang Lee Ye Ram yang mencabar pendirian pihak pengurusan tentera yang enggan memberikan penghormatan tersebut.

Kes mendiang berpangkat sarjan itu sebelum ini dikelasifikasikan sebagai kematian jenis kedua ketika bekerja iaitu berlaku semasa menjalankan tugas atau latihan berkaitan perlindungan negara dan keselamatan awam.

Lee ditemui tidak bernyawa dipercayai akibat membunuh diri pada 21 Mei 2021.

Mendiang turut meninggalkan nota mendakwa dia menjadi mangsa beberapa insiden gangguan seksual melibatkan pegawai atasan tentera udara.

Mayatnya ditemukan oleh suaminya yang juga anggota tentera udara sehari selepas mereka mendaftarkan perkahwinan secara rasmi.

Kes tersebut mendapat liputan meluas selepas pihak pengurusan tentera udara negara tersebut gagal mengambil tindakan terhadap pelaku.

Sebaliknya pihak tentera udara didakwa cuba menyembunyikan kebenaran mengenai insiden membabitkan mendiang.

Mendiang juga dilaporkan pernah berdepan tekanan disebabkan buli di berek tentera ketika prosiding undang-undang sebagai mangsa keganasan seksual sedang berjalan.

Mahkamah mengakui kematian Lee berpunca daripada tekanan melampau serta masalah kesihatan mental akibat serangan dan tekanan susulan dialaminya.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan perkara menimpa mendiang selepas insiden gangguan seksual tidak berkaitan dengan tugas melindungi negara.

Keluarga Lee bagaimanapun menegaskan kematiannya wajar diiktiraf kerana mendiang sudah menjalankan tanggungjawab sebagai saksi dalam perbicaraan tentera tanpa menerima perlindungan sewajarnya.

Lee merupakan satu-satunya tentera udara yang diklasifikasikan sebagai kematian jenis kedua ketika bertugas tetapi tidak menerima kenaikan pangkat anumerta .

Ia dipercayai kerana unitnya tidak membuat cadangan tersebut kepada pihak atasan. -Agensi

Artikel Lain