SEORANG suri rumah ditemui tidak bernyawa pada Sabtu, selepas dipercayai meminum racun rumpai akibat tekanan masalah kewangan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Pariaman Timur, Sumatera Barat di Indonesia.Ketua Polis Kota Pariaman, AKP Hijrul Aswad berkata, mangsa berusia 50 tahun disedari hilang oleh suaminya pada waktu subuh sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.Menurutnya, selepas mendapati mangsa tiada di rumah, suaminya memaklumkan perkara berkenaan kepada ahli keluarga untuk mencarinya."Ketika usaha mencari dijalankan, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di belakang rumah saudara sekitar pukul 6 pagi," katanya.Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Daerah M Yamin di Pariaman untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Daerah M Djamil di Padang selepas keadaannya semakin kritikal.Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas cubaan menyelamatkannya gagal. Hasil siasatan di lokasi kejadian menemui sebotol racun herba jenis Gramoxone yang dipercayai diminum mangsa.Siasatan awal serta keterangan keluarga dan saksi mendapati wanita itu dipercayai bertindak demikian akibat tekanan kewangan, terutama menjelang sambutan Aidilfitri."Menurut keluarga, mangsa mengalami kemurungan kerana masalah kewangan. "Apabila Aidilfitri semakin hampir, keperluan meningkat sedangkan mangsa tidak mempunyai wang," katanya.Keluarga mangsa menerima kejadian tersebut sebagai satu tragedi dan menolak permohonan bedah siasat dengan mengemukakan kenyataan rasmi kepada pihak berkuasa. -Agensi