suria

Berang tren selalu lewat, warga emas koyakkan kusyen tempat duduk... Mengaku buat jenayah sama sejak 2022

Merosakkan harta awam adalah satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki ditahan polis selepas disyaki merosakkan harta awam dengan mengoyakkan kusyen tempat duduk tren menggunakan pisau.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.30 malam Khamis lalu di dalam tren kendalian JR West yang sedang bergerak antara stesen Kyuhoji dan Kashiwara di Laluan JR Yamatoji di Jepun.

Menurut polis wilayah Osaka, suspek berusia 56 tahun dikenali sebagai Masaaki Hanagata mengaku menggunakan pisau utiliti untuk mengoyakkan kusyen tempat duduk tren berkenaan.

Lebih mengejutkan, suspek yang juga pekerja syarikat dari Bandar Kashiwara itu turut mendakwa telah melakukan perbuatan sama sebanyak 50 hingga 60 kali, sebelum ini.

Pihak JR West sebelum ini membuat laporan kepada polis selepas mengesan beberapa kejadian kerosakan serupa sejak tahun 2022. 

Hasil semakan rakaman kamera keselamatan serta operasi intipan, polis akhirnya berjaya menahan suspek ketika sedang melakukan perbuatan tersebut pada malam Khamis lalu.

Siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana berasa tertekan dan marah terhadap kelewatan serta pembatalan perkhidmatan tren yang kerap berlaku. -Agensi

 

 

Artikel Lain