suria

Putin ucap tahniah kepada pemimpin Iran, Moscow janji terus berdiri bersama Tehran 

Rusia akan terus menjadi rakan sekutu Iran.

 

PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin menyampaikan ucapan tahniah kepada pemimpin Iran bersempena sambutan Nowruz atau Tahun Baharu Parsi.

Putin dalam ucapan tersebut turut menegaskan Moscow kekal sebagai sahabat setia yang boleh dipercayai kepada Tehran menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kremlin atau kepimpinan Rusia.

Putin dalam kenyataan tersebut turut mendoakan rakyat Iran mampu menghadapi cabaran sukar ketika ini dengan penuh maruah.

Beliau turut menekankan Rusia akan terus berdiri bersama Iran sebagai sekutu rapat di tengah ketegangan serantau yang semakin memuncak.

Bagaimanapun, tahap sebenar sokongan Moscow terhadap Tehran menjadi pertikaian apabila beberapa sumber Iran mendakwa bantuan diterima tidak begitu ketara meskipun negara itu berdepan krisis terbesar sejak revolusi 1979 yang menggulingkan pemerintah disokong Amerika Syarikat (AS).

Rusia sebelum ini turut mendakwa serangan ASy dan Israel terhadap Iran telah 'menghumban' Asia Barat ke ambang krisis serta mencetuskan gangguan besar terhadap pasaran tenaga global.

Dalam perkembangan lain, laporan Politico mendakwa Moscow pernah mencadangkan pertukaran kepentingan kepada Washington, iaitu menghentikan perkongsian risikan dengan Iran sekiranya AS berhenti menyalurkan maklumat risikan kepada Ukraine mengenai Rusia.

Namun, Kremlin menafikan laporan berkenaan dan menyifatkannya sebagai berita palsu.

Walaupun Rusia dilihat mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak susulan konflik tersebut, hubungan strategik antara Moscow dan Tehran tidak mengandungi klausa pertahanan bersama.

Rusia juga berulang kali menegaskan ia tidak mahu Iran membangunkan senjata nuklear kerana bimbang langkah itu boleh mencetuskan perlumbaan senjata nuklear di Asia Barat. -Agensi

Artikel Lain