suria

Tak sampai sebulan siap, jalan berturap hancur! Tanah dan lumpur keluar celah tar... Penduduk salahkan kontraktor buat kerja cincai

Keadaan jalan yang belum sampai sebulan digunakan penduduk.

KEGEMBIRAAN penduduk menikmati jalan berturap tidak bertahan lama apabila kemudahan itu dilaporkan mengalami kerosakan teruk walaupun belum sebulan digunakan.

Berdasarkan laporan, jalan utama sepanjang empat kilometer di laluan Mauponggo–Ngera–Puuwada di Indonesia itu siap dibina pada penghujung tahun 2025 dengan kos dianggarkan IDR18 bilion (kira-kira RM4.194 juta).

Laluan berkenaan merupakan akses penting menghubungkan daerah Mauponggo dan Keo Tengah serta digunakan kira-kira 7,000 penduduk dari lima kampung bagi urusan harian dan pengangkutan hasil pertanian seperti cengkih, buah pala dan kelapa.

Sebelum ini, keadaan jalan yang uzur menyebabkan kos pengangkutan tinggi dan harga komoditi tidak stabil sehingga ramai penduduk terpaksa berhijrah menjadi pekerja asing ke Malaysia serta beberapa wilayah lain di Indonesia bagi mencari rezeki.

Tinjauan mendapati permukaan jalan kini dipenuhi rekahan besar, lumpur keluar dari celah asfalt serta tampalan tidak melekat dengan baik.

Kerosakan paling serius dilaporkan berlaku di belakang Kampung Ngera apabila lapisan asfalt pecah menjadi ketulan besar.

Menurut seorang pekerja projek dikenali sebagai Yanto, kerosakan berlaku akibat faktor cuaca kerana kerja pembinaan dijalankan ketika musim hujan sehingga menyebabkan tanah menjadi tidak stabil.

Dakwanya, jalan berkenaan masih berada dalam tempoh penyelenggaraan.

Bagaimanapun, pandangan berbeza diutarakan penduduk apabila ada mendakwa proses pembinaan dipercayai tidak mengikut piawaian apabila lapisan asas jalan disyaki menggunakan campuran batu kerikil bersama tanah dan lumpur yang boleh menjejaskan ketahanan struktur.

Selain itu, mereka turut mempersoalkan kaedah penghamparan asfalt yang didakwa dipindahkan dari lori besar ke lori kecil sebelum diratakan menggunakan jentera grader, bukannya mesin khas penghampar asfalt.

Rakaman proses berkenaan turut tular di media sosial sekali gus mencetuskan persoalan orang ramai mengenai kualiti sebenar pembinaan jalan tersebut. -Agensi

Artikel Lain