suria

Israel larang solat Aidilfitri di Masjid Al-Aqsa, beri alasan sekatan keselamatan susulan konflik Iran

Israel menutup kawasan Masjid Al-Aqsa atas alasan keselamatan. -Gambar aa.com

PIHAK berkuasa Israel dilaporkan melarang pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur dengan alasan sekatan keselamatan susulan konflik berterusan melibatkan Iran.

Susulan larangan itu, rakyat Palestin menggesa umat Islam untuk berkumpul berhampiran kawasan Kota Lama bagi menunaikan solat sedekat mungkin dengan Masjid Al-Aqsa sempena berakhirnya Ramadan.

Sebelum ini, polis Israel dilaporkan menggunakan belantan, bom bunyi dan gas pemedih mata terhadap rakyat Palestin yang menunaikan solat di luar tembok Kota Lama sebagai tanda bantahan terhadap sekatan dikenakan sepanjang Ramadan.

Suasana di Baitulmaqdis Timur yang lazimnya meriah menjelang Aidilfitri kini bertukar suram apabila kawasan Kota Lama kelihatan lengang dan sepi, seolah-olah bandar tidak berpenghuni.

Israel turut mengehadkan akses ke kawasan berkenaan dengan alasan larangan perhimpunan, selain menghalang kebanyakan peniaga Palestin daripada membuka premis mereka.

Hanya farmasi serta kedai makanan keperluan asas dibenarkan beroperasi.

Beberapa peniaga Palestin bimbang tindakan balas pihak berkuasa Israel memaklumkan sekatan tersebut menyebabkan mereka berdepan tekanan ekonomi yang serius akibat kehilangan sumber pendapatan menjelang musim perayaan. -Agensi

Artikel Lain