TINDAKAN seorang kakitangan wanita di sebuah kompleks mahkamah yang dipercayai bermain permainan komputer ketika bertugas menjadi tular di media sosial sehingga mengundang perhatian ramai.Video memaparkan kejadian itu mula tersebar di media sosial, selepas dimuat naik oleh akaun Threads @aishsholihah sebelum menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen. Rakaman tersebut menunjukkan suasana di kaunter Perkhidmatan Bersepadu Sehenti (PTSP) Mahkamah Daerah Jakarta Pusat di Indonesia yang sedang beroperasi dengan beberapa pelanggan dilihat menunggu giliran di ruang menunggu.Namun, perhatian tertumpu kepada seorang kakitangan wanita di kaunter yang kelihatan fokus pada skrin komputer dipercayai sedang bermain permainan ketika waktu bekerja.Difahamkan, komputer di kaunter tersebut mempunyai paparan dua hala, iaitu satu menghadap kakitangan terbabit dan satu lagi boleh dilihat oleh orang awam di bahagian hadapan kaunter.Menerusi video berkenaan, paparan yang disyaki permainan jelas kelihatan pada skrin hadapan sehingga menimbulkan dakwaan individu tersebut terlupa menutup paparan awam.Pemuat naik video turut menyertakan kapsyen menyindir tindakan berkenaan dengan menyatakan wanita itu seolah-olah melayan pelanggan sambil bermain permainan video.Susulan video tular itu, jurucakap Mahkamah Daerah Jakarta Pusat, Andi Saputra memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan dalaman bagi mengesahkan kesahihan rakaman berkenaan.Menurutnya, pihak mahkamah kini sedang meneliti sumber asal video serta mengesahkan masa kejadian dan identiti kakitangan yang terlibat.Tambah beliau, proses siasatan turut mengambil sedikit masa memandangkan kebanyakan kakitangan sedang bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.Mahkamah Daerah Jakarta Pusat turut memberi jaminan bahawa hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum sebaik sahaja proses pengesahan selesai. -Agensi