suria

Elak cucu ‘pau’ dua kali, datuk guna teknik potong nama selepas serah duit raya… Netizen anggap tindakan bijak 

Nama setiap cucu dicatit dan dipotong selepas terima duit raya.

 

GELAGAT seorang datuk mengagihkan duit raya kepada cucu-cucunya dengan cara tersendiri mencuri perhatian ramai selepas videonya tular di media sosial.

Menerusi rakaman berkenaan, lelaki warga emas itu dilihat meminta cucu-cucunya berbaris sebelum menyerahkan duit raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selepas menyerahkan sampul berisi duit raya, dia memotong nama mereka dalam senarai disediakan sebagai tanda sudah menerima wang daripadanya. 

Difahamkan, tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan ada cucu yang menerima duit raya lebih daripada sekali.

"Catatkan ya, saya bimbang cucu-cucu akan minta dua kali," tulisnya pada kapsyen video yang dikongsikan pada Ahad.

Perkongsian tersebut pantas meraih perhatian warga maya yang rata-ratanya terhibur dengan cara sistematik datuk berkenaan menguruskan agihan duit raya.

Rata-rata netizen meninggalkan komen lucu, malah ada mencadangkan supaya sampul duit raya dilabelkan dengan nama setiap cucu sebelum diagihkan.

"Sepatutnya sampul tu letak nama datuk, kemudian panggil seorang demi seorang bila semua dah berkumpul.

Seorang lagi netizen turut berseloroh dengan mengatakan jumlah cucu yang ramai menunjukkan perubahan zaman berbanding puluhan tahun lalu.

Video berkenaan terus mendapat pelbagai reaksi positif selain dianggap mencerminkan suasana meriah dan tradisi pemberian duit raya dalam kalangan keluarga sempena Aidilfitri. -Agensi

 

Artikel Lain