suria

Tak angkat ‘call’ punya fasal... Lelaki mengamuk pecahkan pintu rumah, toreh tayar kereta kekasih guna paip besi

Merosakkan harta benda dan kenderaan orang adalah satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki berusia lingkungan 40-an didenda 5 juta won (kira-kira RM16,000) oleh mahkamah di Korea Selatan selepas bertindak merosakkan pintu rumah dan kenderaan milik teman wanitanya kerana panggilannya tidak dijawab.

Mahkamah Daerah Ulsan mendapati tertuduh bersalah atas kesalahan melakukan kerosakan harta benda menggunakan objek berbahaya yang diklasifikasikan sebagai kesalahan kemusnahan khas.

Menurut pihak pendakwaan, lelaki itu datang ke rumah mangsa pada waktu pagi sekitar September lalu sebelum memukul dan memecahkan pintu hadapan menggunakan sebatang paip besi.

Dia turut merosakkan keempat-empat tayar kereta milik teman wanitanya yang diparkir berhampiran rumah tersebut.

Dalam kejadian sama, tertuduh juga menyebabkan kebakaran kecil selepas membuang puntung rokok yang masih menyala berhampiran kotak kertas di tepi pintu rumah.

Siasatan mendapati suspek bertindak demikian kerana berang selepas teman wanitanya tidak menjawab panggilan telefon sepanjang malam.

Mahkamah bagaimanapun menjatuhkan hukuman lebih ringan selepas mengambil kira mangsa tidak mahu tertuduh dikenakan hukuman berat selain lelaki itu mengaku bersalah serta menunjukkan penyesalan terhadap perbuatannya. -Agensi

Artikel Lain