SEORANG lelaki ditemukan maut dengan kesan torehan di beberapa bahagian badan, dipercayai dibunuh oleh isterinya.Kejadian tragis itu dilaporkan berlaku di kawasan Kapling Pinang, Banten di Indonesia pada Khamis. Berdasarkan laporan, suspek yang merupakan isteri kedua mangsa bernama Elsa Marlina, berusia 25 tahun bertindak menyerah diri di balai polis selepas dipercayai membunuh suaminya, Joni, 51 tahun.Setiausaha Rukun Tetangga (RT) kawasan berkenaan, Purwanto berkata, mangsa ditemukan terbaring tidak bernyawa di dalam bilik dengan keadaan berlumuran darah.Menurutnya, dia diminta masuk ke dalam rumah untuk menjadi saksi sebelum menemukan mangsa dalam keadaan tertiarap di atas katil."Saya diminta masuk untuk menjadi saksi. Apabila saya masuk, mangsa sudah meninggal dunia dan tertiarap di atas katil dalam keadaan berlumuran darah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.Purwanto berkata, mangsa dipercayai mengalami beberapa kecederaan pada bahagian tubuh termasuk kaki, lengan dan pinggang."Daripada apa yang saya lihat, terdapat luka pada kaki, lengan dan pinggang mangsa."Darah juga sudah menghitam dan saya percaya terdapat lebih daripada tiga luka," katanya.Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Tangerang, Inspektor Pertama Sandro Tree Bahari berkata, pihaknya turut menemukan sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan berkenaan."Unit Siasatan Jenayah masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kejadian," katanya.Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Wilayah Balaraja untuk menjalani proses bedah siasat. -Agensi