suria

Bekas banduan bunuh remaja 16 tahun... Penduduk dakwa suspek minum darah, cuba makan otak mangsa!

Polis berjaya menahan suspek yang cuba bersembunyi di sebuah ladang.

SEORANG banduan yang baru beberapa minggu dibebaskan dari penjara, sekali lagi ditahan polis selepas didakwa membunuh remaja lelaki berusia 16 tahun.

Lebih mengejutkan, suspek lelaki berusia 46 tahun itu dipercayai cuba memakan otak mangsa serta meminum darahnya selepas melakukan serangan berkenaan.

Kejadian ngeri itu berlaku di sebuah kampung di Madhya Pradesh, India.

Menurut polis, suspek dikenali sebagai Gudda Patel merupakan penduduk Kampung Samanna di daerah Damoh.

Lelaki itu sebelum ini pernah dipenjarakan kerana membunuh isterinya dengan cara mengelar leher mangsa beberapa tahun lalu sebelum dibebaskan pada Januari lepas.

Dia yang kembali ke kampung halamannya didakwa menyerang menggunakan besi ketika mangsa menunggang motosikal untuk pulang ke Kampung Arthkheda selepas menziarahi kakaknya di Samanna.

Mangsa juga didakwa dipukul berulang kali menggunakan tukul besi sehingga maut di lokasi kejadian.

Penduduk kampung yang terdengar jeritan mangsa bergegas ke tempat kejadian sebelum mendakwa melihat suspek cuba memakan otak mangsa dan meminum darah dari tangannya.

Menurut polis, penduduk cuba menangkap suspek namun dia mengugut mereka menggunakan tukul sebelum melarikan diri dan bersembunyi di kawasan ladang berhampiran kampung.

Orang kampung kemudian mengejar suspek dan membaling batu ke arahnya.

Polis mengambil masa kira-kira sejam untuk mengepung kawasan ladang sebelum berjaya menahan suspek.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif pembunuhan tersebut, manakala ahli keluarga mangsa dilaporkan menuntut hukuman mati dikenakan terhadap suspek. -Agensi

Artikel Lain