PRESIDEN Iran memohon maaf kepada negara-negara jiran serantau susulan serangan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan ke beberapa wilayah, ketika konflik di Asia Barat terus memuncak.Menerusi mesej video yang disiarkan pada Sabtu, Masoud Pezeshkian turut menegaskan bahawa Iran tidak akan tunduk kepada desakan Amerika Syarikat supaya menyerah kalah. Permohonan maaf itu dibuat ketika peluru berpandu dan dron Iran dilaporkan menyasarkan beberapa negara Teluk Arab, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa kepimpinan politik Tehran mungkin tidak mempunyai kawalan penuh terhadap angkatan tenteranya.Menerusi klip video mesej yang dipercayai dirakam secara tergesa-gesa tanpa peralatan siaran profesional, Pezeshkian dilihat cuba meredakan kemarahan negara jiran selepas beberapa lokasi di rantau Teluk Arab menjadi sasaran serangan.Beberapa jam sebelum kenyataan itu, gelombang peluru berpandu dan dron dilaporkan mengganggu operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, selain menyasarkan sebuah kemudahan minyak utama di Arab Saudi serta mencetuskan situasi cemas di Bahrain.Menurut Pezeshkian, Iran telah berkomunikasi dengan pihak tentera berhubung insiden serangan tersebut.“Saya memohon maaf kepada negara-negara jiran yang diserang oleh Iran,” katanya.Beliau turut memberi jaminan bahawa Iran tidak akan menyerang negara jiran atau melancarkan peluru berpandu ke wilayah mereka, kecuali jika negara tersebut terlebih dahulu melakukan serangan.“Pada pandangan saya, isu ini perlu diselesaikan melalui saluran diplomasi,” ujarnya.Dalam masa sama, Pezeshkian sekali lagi menolak tuntutan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang berulang kali mendesak Iran menyerah tanpa syarat.“Itu hanyalah mimpi yang perlu mereka bawa ke liang lahad,” katanya.Sementara itu, Trump menerusi satu hantaran di media sosial memberi amaran bahawa lebih ramai pegawai Iran mungkin menjadi sasaran serangan dalam konflik tersebut.“Pada hari ini Iran akan menerima serangan yang sangat kuat,” tulisnya tanpa memperincikan sasaran yang dimaksudkan.Untuk rekod Pezeshkian merupakan salah seorang daripada tiga anggota majlis kepimpinan sementara Iran yang mengambil alih pentadbiran negara selepas serangan udara pada 28 Februari lalu mencetuskan perang serta mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.Konflik yang kini memasuki minggu kedua itu turut menggoncang pasaran global dan operasi penerbangan antarabangsa, selain melemahkan kepimpinan Iran berikutan ratusan serangan udara oleh Israel dan Amerika Syarikat. -Agensi