suria

Rezeki terpijak! Lelaki ‘menyelam’ baju terpakai jumpa RM66,000 dalam beg sampah

Pengutip pakaian terpakai jumpa duit dalam bungkusan sampah. -Gambar hiasan AI

PIHAK berkuasa masih gagal menjejaki pemilik wang tunai berjumlah kira-kira RM66,400 yang ditemukan dalam beg sampah meskipun ia sudah diiklankan dalam akhbar sejak bulan lalu.

Penemuan tersebut dilaporkan berlaku di sebuah vila di Incheon, Korea Selatan.

Berdasarkan laporan, wang berkenaan ditemukan pada 10 Februari lalu di Geumgok-dong, Dong-gu oleh seorang lelaki berusia lingkungan 60-an yang ketika itu sedang mengutip pakaian terpakai.

Dia menemukan wang berkenaan dalam keadaan diikat menggunakan jalur bank, tersembunyi di bawah timbunan pakaian dalam beg sampah berkapasiti 20 liter.

Hasil pemeriksaan mendapati, bungkusan tersebut mengandungi 500 keping wang kertas bernilai 50,000 won setiap satu dengan jumlah keseluruhan adalah 25 juta won (kira-kira RM66,400).

Menurut Balai Polis Incheon Jungbu, pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengesan pemilik wang tersebut termasuk memeriksa cap jari, menyemak laporan kehilangan serta menyiarkan maklumat mengenainya dalam akhbar tempatan.

Bagaimanapun, usaha itu gagal mengenal pasti pemilik sebenar wang berkenaan.

Dalam pada itu, polis memaklumkan, sekiranya tiada individu tampil menuntut wang tersebut dalam tempoh enam bulan dari tarikh penemuan, hak pemilikan boleh diserahkan kepada lelaki yang menjumpainya.

Jika pemilik asal muncul, individu yang menjumpai wang itu berhak menerima ganjaran antara lima hingga 20 peratus daripada jumlah wang berkenaan mengikut peruntukan undang-undang, namun bayaran tersebut turut dikenakan cukai sebanyak 22 peratus. -Agensi

Artikel Lain