suria

Warga emas dibelasah guna pelepah kelapa, leher ditikam dengan tojok sampai tembus

Mayat ditemukan sudah mereput dalam kebun kelapa. -Foto polis Tanjabtim

POLIS menahan seorang lelaki berhubung dakwaan pembunuhan warga emas yang mayatnya ditemukan dalam keadaan sudah berbau di kebun kelapanya pada Rabu.

Ketua Siasatan Jenayah Polis Daerah Tanjabtim, AKP Ahmad Soekani Daulay berkata, suspek merupakan anak saudara kepada bekas isteri kedua mangsa.

Sebelum ini wujud pertelingkahan antara mereka di mana mangsa yang berusia 75 tahun  melarang suspek mengusahakan kebun berkenaan.

Menurut Ahmad, kejadian meragut nyawa itu berlaku di sebuah kebun di Desa Siau Dalam, Tanjung Jabung Timur, Indonesia pada malam 15 Januari lalu.

Apabila diarahkan pulang, suspek bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan pelepah kelapa sebelum menikam leher mangsa dengan tojok kelapa sehingga tembus.

Tambah Ahmad, suspek sekali lagi memukul kepala mangsa menggunakan pelepah kelapa ketika mangsa sudah tidak berdaya hingga menyebabkan kematian sebelum melarikan diri.

Mayat mangsa hanya ditemukan selepas dilaporkan hilang pada Isnin, manakala suspek berjaya ditahan pada Selasa hasil siasatan lanjut.

Suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 466 ayat (3) atau Seksyen 458 ayat (1) Kanun Keseksaan. -Agensi

Artikel Lain