suria

Wanita hanyut dalam cinta pasangan kembar, bahagia berkongsi kasih... Mengaku tidur sekatil, sedia hamil apabila tiba masa

Kisah percintaan Fah dengan pasangan kembar lelaki mencuri tumpuan ramai. -Foto KhaoSod

SEORANG wanita berusia 24 tahun mencuri perhatian ramai selepas mendedahkan kisah percintaannya yang luar biasa bersama sepasang lelaki kembar.

Wanita dikenali sebagai Fah dari Thailand itu berkongsi kisah hubungan mereka menerusi satu video di TikTok, yang memaparkan mereka bertiga meraikan sambutan hari lahirnya bersama-sama.

Pada awalnya, netizen meragui status hubungan mereka, namun Fah tampil mengesahkan bahawa dia memang sedang berpacaran dengan pasangan kembar berkenaan.

Menurut Fah, sudah hampir setahun dia tidak menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki, sehinggalah ketika pertama kali bertemu dengan pasangan kembar tersebut.

Namun, perkenalan secara tidak dirancang itu akhirnya membawa kepada persetujuan untuk menjalinkan hubungan bersama.

"Hubungan ini berlaku secara semula jadi dan kami bertiga selesa dengan dinamika yang ada," katanya.

Walaupun menerima beberapa komen negatif daripada orang ramai, Fah berkata dia tidak mengambil pusing kritikan tersebut. 

Malah, hubungan mereka kini sudah bertahan lebih daripada setahun.

Media Thailand, Khaosod, melaporkan Fah bekerja di sebuah restoran, manakala kembar itu pula terlibat dalam bidang pertanian.

Apa yang mengejutkan, Fah mendedahkan bahawa mereka bertiga tidur bersama di atas katil yang sama, dengan dia berada di tengah.

Fah juga tidak menolak kemungkinan untuk mempunyai anak pada masa hadapan. 

Menurut wanita itu, jika dia hamil, ujian DNA akan dilakukan bagi menentukan bapa kandung sebenar supaya 'nama yang betul' dapat dicatatkan dalam sijil kelahiran.

Namun begitu, Fah menegaskan anak tersebut tetap akan memanggil kedua-dua teman lelakinya sebagai bapa. -Agensi

Artikel Lain

Rezeki Iskandar Ismail juara GV12