suria

Tragedi berdarah di Sepanyol... Dua tren laju bertembung, sekurang-kurangnya 21 terkorban

Usaha menyelamatkan mangsa giat dilakukan pihak berkuasa.

SEKURANG-kurangnya 21 orang disahkan maut dalam satu nahas ngeri membabitkan pertembungan dua buah kereta api di selatan Sepanyol, pada Ahad.

Kejadian yang berlaku berhampiran Adamuz, wilayah Córdoba itu turut menyebabkan kira-kira 100 penumpang lain mengalami kecederaan.

Menurut kenyataan pengendali rangkaian rel, Adif, insiden bermula apabila sebuah tren berkelajuan tinggi, Iryo 6189 dari Málaga ke Madrid tiba-tiba tergelincir lalu merempuh landasan bersebelahan.

Malangnya, pada waktu yang sama, sebuah lagi kereta api dari Madrid ke Huelva sedang melalui landasan tersebut, menyebabkan kedua-duanya terkeluar dari landasan akibat impak rempuhan yang kuat.

"Kejadian berlaku pada pukul 6.40 petang waktu tempatan, hanya kira-kira 10 minit selepas tren itu meninggalkan Córdoba," lapor Adif.

Dalam pada itu, laporan penyiar rasmi Televisión Española memaklumkan, pemandu salah sebuah kereta api tersebut turut dilaporkan terkorban dalam nahas berkenaan.

Ketua Bomba Cordoba, Paco Carmona yang berada di lokasi menyifatkan keadaan di tempat kejadian sebagai sangat tragis.

"Gerabak kereta api yang satu lagi rosak teruk dengan keadaan besi remuk dan kerusi berkecamuk," ujarnya berkongsi situasi di lokasi.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sepanyol, Oscar Puente, menerusi hantaran di laman X menyifatkan impak kemalangan itu sebagai mengerikan.

"Dua gerabak pertama tren Renfe tercampak keluar dari landasan. Perkara paling penting sekarang adalah membantu semua mangsa terlibat," katanya.

Untuk rekod, jumlah penumpang Tren Iryo adalah 300 orang manakala Tren Renfe,100 orang.

Pihak syarikat Iryo dalam satu kenyataan rasmi menyatakan rasa kesal yang mendalam atas kejadian tersebut dan kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi menguruskan situasi kecemasan. -Agensi

Artikel Lain

Rezeki Iskandar Ismail juara GV12