suria

Leher terjerut tali layang-layang ketika tunggang motosikal, lelaki sempat hubungi keluarga sebelum maut

Aktiviti bermain layang-layang berhampiran jalan boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya dan orang awam. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki berusia 48 tahun maut selepas lehernya terjerut tali layang-layang ketika menunggang motosikal, dalam kejadian Rabu lalu.

Menurut polis, ketika kejadian yang berlaku berhampiran Kampung Talamadagi, Karnataka, India, mangsa yang dikenali sebagai Sanjeev Kumar Hosanmani dalam perjalanan untuk mengambil anak perempuannya sempena perayaan Makar Sankranti (perayaan penting dalam kalendar Hindu).

Semasa menunggang motosikal, tali layang-layang yang merentangi jalan raya tiba-tiba melilit lehernya, menyebabkan dia terjatuh. 

Jerutan tersebut mengakibatkan leher mangsa mengalami pendarahan teruk.

Saksi yang berada di lokasi kejadian memberitahu mangsa yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah sempat menghubungi keluarganya. 

Dilaporkan, tiada siapa yang membawa mangsa ke hospital.

Perkhidmatan kecemasan yang tiba kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah. 

Pegawai Polis Bidar, Pradeep Gunti, mengesahkan kejadian tersebut dan menjelaskan bahawa walaupun penggunaan tali layang-layang telah diharamkan sempena perayaan Sankranti, masih ada kedai yang menjualnya secara haram.

Kes masih dalam siasatan lanjut pihak polis. -Agensi

Artikel Lain